Monday, 25, November, 2024
Utama Nasional Bekas wartawan Utusan pesan Aziz jaga syarikat TH elok-elok

Bekas wartawan Utusan pesan Aziz jaga syarikat TH elok-elok

oleh Ammar Haziq
Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir

Bekas wartawan Utusan berharap Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir yang dilantik sebagai pengerusi syarikat minyak dan gas, TH Heavy Engineering Berhad akan menjaga kebajikan pekerja syarikat itu sebaik mungkin.


Menerusi perkongsian Saharudin Mohd Musthafa di laman Facebooknya, didapati beliau meluahkan rasa kecewa dengan nasib yang menimpanya dan pekerja-pekerja Utusan lain termasuk janji yang pernah disuarakan oleh bekas Pengerusi Eksekutif Utusan tersebut.


“Y. Bhg Datuk Aziz… saya doakan Datuk jaga syarikat ini elok-elok. Berpeganglah pada prinsip yang Datuk selalu ikrar tak akan aniaya staff sebab Datuk takut nak jawab di Padang Masyar nanti.

“Jangan ulangi malapetaka yang Datuk tinggalkan kepada kami lebih 800 bekas staff Utusan yang ambik VSS yang sampai sekarang belum dibayar habis pampasan.


Bukan sedikit Datuk. Ada setengahnya masih ada ratusan ribu tidak dibayar. Ada juga sahabat-sahabat yang sudah dijemput Ilahi tak merasa pampasan. Yang susah tak ada kerja, yang sakit pun ramai,” katanya yang dipetik pada Rabu.

Luahan Saharudin di Facebooknya.


Mengulas lanjut, Saharudin berkata, semua bekas staff Utusan  ditinggalkan terkontang-kanting, semuanya buntu dan hilang arah.


“Saya tak kata Datuk salah 100 peratus, tapi idea VSS, idea bayar pampasan secara ansuran (yang tak pernah dibuat sykt lain) adalah idea Datuk. 


Dan Datuk juga yang berjanji dengan kami sehingga ramai yang terpedaya dengan janji-janji manis Datuk.


Tak apalah Datuk, kepada Allah kami berserah semoga kebenaran akan ditunjukkan satu hari nanti,” ujarnya. 


Media melaporkan syarikat minyak dan gas, TH Heavy Engineering Berhad melantik Abd Aziz sebagai Pengerusinya berkuatkuasa pada 25 Mei.


Menurut Bursa Malaysia, Abd Aziz dilantik untuk mengantikan Ir Abd Manap Ali Hasan yang dilantik semula sebagai Pengarah bukan eksekutif bebas syarikat. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com