Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Penoreh getah rugi RM74,800 ditipu ‘Love Scam’

Penoreh getah rugi RM74,800 ditipu ‘Love Scam’

oleh Ammar Haziq

PENIPUAN CINTA MAYA (LOVE SCAM) MELALUI APLIKASI FACEBOOK

1 . Seorang penoreh getah yang berusia 63 tahun telah mengalami kerugian sebanyak RM 74,800.00 selepas berkenalan dengan suspek melalui aplikasi Facebook sejak awal bulan Julai 2021.
2.     Mangsa sudah berkahwin dan berasal dari Kedah mula berkenalan dengan suspek menggunakan aplikasi tersebut sejak awal bulan Julai 2021 dan kemudian mula berhubung melalui aplikasi Whatsapp. Suspek telah memperkenalkan diri beliau sebagai Ibrahim Aziz yang merupakan seorang doktor yang tinggal di Ireland.
3.     Suspek meminta bantuan daripada mangsa untuk memasukkan wang ke akaun suspek bagi mengaktifkan akaun. Suspek juga mengatakan telah mengirim barangan kepada mangsa sebagai tanda perkenalan. Kemudian mangsa telah dihubungi oleh individu yang mengaku sebagai pihak syarikat kurier dan mengatakan terdapat barangan yang dikirim dari suspek dan meminta mangsa membuat bayaran cukai dan denda bagi melepaskan barangan tersebut.
4.     Atas dasar percaya dan infatuation yang melampau, mangsa telah membuat kemasukan wang secara berperingkat melalui mesin deposit atm ke dalam tiga akaun bank yang diberikan oleh suspek bermula pada bulan September hingga Oktober 2021 sebanyak (25) transaksi berjumlah RM 74,800.00. Kesemua wang tersebut adalah dari simpanannya sendiri.
5.     Penipuan ini mula disedari setelah mangsa diminta untuk membuat pembayaran lagi. Mangsa telah membuat Iaporan polis di Baling, Kedah pada 31 Oktober 2021. Satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).
6.     Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan love scam ini. Jangan mudah percaya akan pujuk rayu daripada seseorang yang tidak pernah dikenali melalui media sosial. Selain itu, jangan terlalu mudah untuk membuat sebarang pindahan wang kepada individu yang hanya dikenali melalui media sosial, terutama kepada mereka yang tidak pernah berjumpa dengan anda, serta membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat
sebarang transaksi. Sebarang kemusykilan atau pertanyaan, orang ramai bolehlah menghubungi CCIS Response Center di talian 03-26101559 / 1599.
Sekian, terima kasih.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com