Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Mara pasang panel sistem solar photovoltaik di institusi pendidikannya dengan kerjasama TNB

Mara pasang panel sistem solar photovoltaik di institusi pendidikannya dengan kerjasama TNB

oleh Ammar Haziq
Mahdzir (tengah) menyaksikan MOU antara Mara dan TNB di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil langkah pro-aktif dalam melestarikan alam sekitar dengan memasang panel sistem solar photovoltaik bagi menjana tenaga elektrik bersih di institusi pendidikannya.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu juga merangkumi pembangunan infrastruktur pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) bagi pengendalian dan pengurusan bas MARA Liner.

“Kerjasama ini diharapkan dapat menyokong dan memperkukuhkan lagi usaha ke arah kelestarian alam sekitar yang holistik untuk menyumbang dalam pertumbuhan industri dan ekonomi negara.

“Saya yakin berdasarkan pengalaman dan kekuatan yang ada pada kedua-dua agensi ini, skop kerjasama yang telah dipersetujui dapat dilaksanakan sebaik mungkin.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama MARA dan TNB di ibu negara hari ini.

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

Turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun dan Pengerusi TNB, Datuk Sri Hasan Arifin.

Kerjasama itu jelas Mahdzir, sejajar dengan Polisi Tenaga Boleh Baharu Kebangsaan 2025 di bawah Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

Bagi projek pembangunan infrastruktur pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) bagi pengendalian dan pengurusan bas MARA Liner, satu projek rintis akan dilaksanakan di Pulau Langkawi menggunakan 4 buah bas elektrik bagi 4 laluan perkhidmatan untuk manfaat lebih 68 ribu penduduk.

MOU tersebut turut membabitkan penyediaan perkhidmatan telekomunikasi dan akses internet di premis-premis institusi pendidikan MARA oleh anak syarikat TNB, Alloy Technology Sdn Bhd.

Juga pembangunan modal insan dengan sasaran lebih 30 ribu pelajar serta pelatih dalam bidang TVET yang akan diperkasa di bawah ekosistem MARA dan TNB.

Selain itu, skop kerjasama itu juga membabitkan program keusahawanan sebagai salah satu pencapaian utamanya.

“Saya berharap akan ada lebih ramai lagi pemain-pemain industri yang akan turut bekerjasama dengan agensi-agensi di bawah KPLB dalam usaha kita menyumbang kepada pertumbuhan industri dan ekonomi negara di samping memperkukuh kelestarian alam sekitar,” kata Mahdzir.

Sementara itu Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata,
pihaknya menyambut baik kerjasama yang dijalin serta menghargai komitmen MARA dan KPLB dalam agenda Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan kelestarian alam sekitar.

“Kerjasama ini juga diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang dan manfaat kepada kedua-dua belah pihak, TNB mahupun MARA untuk meneroka prospek yang lebih luas dalam agenda peralihan sumber tenaga dan kemajuan negara.”

Melalui MoU itu juga, TNB kata Hasan, bergabung tenaga dengan MARA dalam pembangunan modal insan dengan memberi nilai tambah kepada ekosistem pendidikan sedia ada untuk melahirkan bakat dan pelapis generasi masa hadapan.

Pada masa yang sama memupuk generasi usahawan yang lebih berdaya saing serta mampan dalam bidang berkenaan.

“Sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang memikul amanah menggerak kemajuan negara, TNB menyambut baik pelan RMK-12 terutama yang melibatkan industri tenaga dan kelestarian alam sekitar dengan meningkatkan komitmen terhadap agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Kami telah pun menetapkan sasaran pelepasan karbon sifar bersih yang mendukung inisiatif negara neutral karbon menjelang tahun 2050,” katanya.

TNB jelas Hasan, telah mengumumkan langkah-langkah segera mempercepatkan pelaksanaan nyah karbon sektor tenaga yang menjadi kunci utama kejayaan Peralihan Tenaga Bertanggungjawab di bawah inisiatif TNB.

Terbaru, TNB memeterai kerjasama dengan PETRONAS dalam memacu penyelesaian inovatif ke arah nyah karbon menggunakan teknologi pembakaran hidrogen.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com