Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Isu banjir, air, pembangunan kawasan sempadan fokus Tok Muni di Kubang Pasu

Isu banjir, air, pembangunan kawasan sempadan fokus Tok Muni di Kubang Pasu

oleh Ammar Haziq
Datuk Hasmuni Hassan

KUBANG PASU – Lawan yang bakal didepani bukan calang-calang malah terdiri daripada mereka yang tidak pernah tewas setiap kali bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Namun fakta itu tidak langsung menjadi pematah semangat buat Setiausaha Agung Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan untuk bertekad mengembalikan kerusi Parlimen Kubang Pasu kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

Menurut Hasmuni, beberapa aspek dilihat menyebelahi BN dan dirinya termasuk faktor anak tempatan dengan beliau sememangnya membesar dan menetap di Jitra, dekat sini sejak dari kecil hingga sekarang.

“Keadaan itu membolehkan saya memahami kehendak serta masalah dihadapi penduduk setempat. Berbanding calon-calon lain, saya merupakan anak jati di Kubang Pasu.

“Saya hormati Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Amiruddin Hamzah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak dari Perikatan Nasional (PN) yang turut bertanding di sini. Mereka tidak pernah tewas dalam PRU dan mungkin lebih arif dalam ‘gelanggang’ tetapi kali ini, saya yakin dengan izin Allah, mampu memenangi hati pengundi,” katanya.

Selain dua pesaing tersebut, Hasmuni turut perlu berdepan seorang lagi pencabar dari Pakatan Harapan (PH), Aizuddin Ariffin di Parlimen tersebut.

Kerusi Parlimen itu menjadi tumpuan kerana tidak pernah terlepas dari tangan BN sebelum ini hinggalah Amiruddin yang menggunakan logo PKR pada PRU14, memenangi kerusi tersebut dengan memperolehi 29,984 undi, mengatasi Datuk Seri Johari Baharum yang hanya memperolehi 16,975 undi diikuti calon Pas, Norhafiza Fadzil yang mendapat 13,375 undi.

Mengulas lanjut katanya, tindakan berani Presiden BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menampilkan wajah lebih segar dan muda untuk menjadi calon BN kali ini dilihat mampu menjadi tarikan kepada anak muda bagi memilih parti itu.

“Analisis dibuat di Melaka dan Johor juga menunjukkan kalangan pengundi muda menyokong kita. Saya yakin, ‘angin’ sokongan itu turut sama di Jitra.

“Di Kubang Pasu ini pun sudah lama kami adakan jalinan bersama orang muda dengan saya sendiri lebih mesra dikenali sebagai ‘Tok Muni’ dalam kalangan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai isu-isu tempatan yang bakal menjadi tumpuannya sekiranya menang di Parlimen ini, Hasmuni berkata, beliau mahu memastikan masalah yang melanda beberapa kampung di Bukit Kayu Hitam sejak sekian lama dapat diselesaikan segera.

Selain itu katanya, masalah tekanan air rendah yang membelenggu kalangan penduduk di sini, akan turut diberi perhatian.

“Saya juga merasakan kita sepatutnya mencemburui keadaan sempadan di Johor Bahru dan Singapura yang dilihat jauh lebih maju berbanding keadaan di sempadan kita dengan Thailand dekat Bukit Kayu Hitam.

“Maka saya berazam untuk berusaha membawa pembangunan ke kawasan itu. Insya Allah jika diberi peluang, saya akan usahakan agar kawasan tersebut dibangunkan, demi kebaikan terutamanya dari aspek ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com