Sunday, 24, November, 2024
Utama Nasional Kerajaan Perpaduan akan pertahan sistem beraja

Kerajaan Perpaduan akan pertahan sistem beraja

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan tidak tidak akan bertolak ansur atau membenarkan sistem beraja diperolok dan diganggu gugat atas nama kebebasan.

Beliau berkata kerajaan akan mempertahankan sistem beraja dengan memastikan tindakan yang setimpal akan diambil ke atas manamana pihak yang cuba mengancam.

“Sesuai dengan bidalan Melayu bahawa, ‘Biar patah dayung di tangan, dengan jari ku kayuh jua’.

“Raja laksana pohon dan tentunya institusi ini mesti tersemat dipelihara dengan baik,” katanya ketika merafak sembah ucapan tahniah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara di sini, hari ini.

Istiadat berkenaan berlangsung bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Anwar berkata kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melahirkan Kerajaan Perpaduan berjaya mempertaut kesatuan permuafakatan.

Katanya permuafakatan yang wujud telah melahirkan kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Syukur ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah kurnia dan keizinan-Nya jua, Kerajaan Perpaduan yang lahir daripada cetusan kebijaksanaan Tuanku telah berjaya mempertaut kesatuan permuafakatan.

“Dan selanjutnya mewujudkan kestabilan politik negara, lantas memberi ruang ke arah pertumbuhan ekonomi negara, keyakinan pelabur domestik dan luar negara serta mengatur tatakelola pemerintahan yang mampan dan wajar menjamin kesejahteraan dan keselesaan rakyat,” katanya.

Anwar berkata kebijakan ekonomi yang diusahakan Kabinet, penjawat awam dan sektor swasta telah melonjakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 5.6 peratus.

Jumlah pelaburan bernilai RM71.4 bilion juga berjaya diperoleh pada suku pertama 2023.

Katanya, Pelan Perindustrian Negara akan diluncurkan pada Ogos ini, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 pada akhir September dan Belanjawan Madani kedua pada bulan Oktober.

“Kesemuanya tatkala Tuanku masih bersemayam di atas singgahsana negara. Dalam semua kerangka besar yang bakal diluncurkan, akan menjadikan landasan tatakelola yang baik, telus dan bertanggungjawab,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata Malaysia akan terus berperanan dengan lebih aktif dalam menyuarakan pendirian serta memelihara kepentingan negara di forum-forum antarabangsa khususnya dalam isu-isu kedaulatan negara, kemanusiaan, keselamatan dan pengurusan bencana.

“Sumbangan Tuanku dalam mengangkat kepentingan negara dalam bidang diplomatik dan pelaburan amat dihargai,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com