PULAU PINANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, institusi pengajian tinggi seperti universiti harus lebih terbuka dan bebas dalam menerima pandangan mahasiswa.
Jelasnya, ruang perlu diberikan kepada mahasiswa agar mutu universiti dapat ditingkatkan.
“Timba ilmu dan buat penilaian baik… apa yang dikatakan pemikiran kritikal. Saya akan jumpa semua Naib Canselor Universiti di negara ini, (dan maklumkan) bahawa iklim di universiti harus lebih terbuka dan bebas.
“Anak-anak (perlu) diberi ruang (untuk) beri pandangan, teguran dan kritikan, baru kita boleh angkat mutu universiti yang cemerlang,” jelasnya.
Menjawab mengenai kebebasan bersuara mahasiswa, Anwar turut bersetuju agar ‘Speakers Corner’ diwujudkan di USM dalam mencapai matlamat itu.
Beliau berkata demikian dalam Program Temu Anwar di Dewan Tuanku Syed Putra Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada Ahad.