Monday, 25, November, 2024
Utama Nasional Anwar bersedia tunjuk dokumen lupus hutang Felda

Anwar bersedia tunjuk dokumen lupus hutang Felda

oleh admin

TANJONG KARANG:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan engemukakan bukti bahawa beliau sudah menandatangani dokumen bagi meluluskan pelupusan hutang Felda, seperti dituntut oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pihaknya akan meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) untuk mengeluarkan dokumen berkenaan, yang ditandatanganinya pada 27 Jun lalu.

Selepas dokumen itu ditunjukkan, Anwar meminta agar Muhyiddin membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya.

“Okay saya boleh bawa (tunjuk dokumen), tiada masalah.

“(Tarik balik fitnah dalam masa 24 jam?) Tak payah 24 jam, dalam 12 jam saya boleh…

“Memang saya tandatangan 27 hari bulan. Nampak dia tak buat kerja, dia tak tahu. Kalau betul saya nak tunjuk bukti, saya tandatangan, (dan) dia (Muhyiddin) kena minta maaf. Dia harus minta maaf. Saya ingat saya tandatangan 27 Jun (sebanyak) RM990 juta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H di sini pada Rabu malam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau akan menghubungi KSP dan memberi contoh dokumen tersebut sebelum berangkat ke Vietnam bagi lawatan kerja rasmi selama dua hari mulai Khamis.

Terdahulu, Muhyiddin dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Roslan Dahlan Saravana Partnership antaranya menuntut Anwar mengemukakan surat atau dokumen yang ditandatangani mengatakan Anwar sebagai menteri kewangan pada akhir Jun lalu meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion.

Selain itu, Muhyiddin menerusi firma guaman itu menuntut agar Anwar menarik balik semua kenyataan fitnah tersebut dan memadamkan semua penyiaran kenyataan fitnah dalam tempoh 24 jam selepas menerima surat berkenaan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga menuntut Anwar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis susulan kenyataan berunsur fitnah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com