Monday, 25, November, 2024
Utama Nasional Menteri Luar China jumpa PM Anwar di Pulau Pinang Jumaat ini

Menteri Luar China jumpa PM Anwar di Pulau Pinang Jumaat ini

oleh Ammar Haziq

SUNGAI BAKAP – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar China, Wang Yi di Pulau Pinang, Jumaat ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kunjungan itu memberi makna besar buat negara kerana China antara negara terkuat di dunia dan sanggup berkunjung ke negeri kelahirannya untuk bertemu muka dengannya.

Jelasnya, pertemuan itu kelak mungkin akan menjurus kepada perbincangan lanjut mengenai pelaburan di negara ini.

Anwar berkata beliau juga sebelum ini menerima kunjungan daripada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan membincangkan mengenai kerjasama ekonomi, pelaburan dan sebagainya antara kedua-dua negara.

“Hari Jumaat ini, Menteri Luar China kata hendak jumpa saya di Putrajaya, saya kata saya sibuk, dia kata tak apa, nak jumpa (juga).

“Maka, saya kata, datang lah ke Pulau Pinang Jumaat ini. Itu Menteri Luar China, antara negara terkuat di dunia, dia sanggup datang. Saya kata minta maaf saya sibuk,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa berucap sempena majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Sungai Bakap di Gerai PERDA Tasek, Sungai Bakap, Pulau Pinang pada Selasa.

Majlis turut disertai calon gabungan PH-BN daripada PKR bagi kerusi DUN Sungai Bakap, Norhidayah Che Rose.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com