Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Pusat media sempena Hari Kebangsaan beroperasi mulai hari ini

Pusat media sempena Hari Kebangsaan beroperasi mulai hari ini

oleh admin

PUTRAJAYA – Pusat Media sempena Hari Kebangsaan 2023 akan beroperasi di Auditoruim Cempaka Sari di sini selama empat hari mulai hari ini, dari pukul 6.30 pagi hingga 3 petang.

Penyelaras Pusat Media Hari Kebangsaan 2023 Datuk E Sivabalan menerusi laporan Bernama berkata kecuali pada 30 Ogos, pusat media berkenan akan memulakan operasi pada 10 pagi hingga 3 petang.

Katanya pusat media berkenaan telah 90 peratus siap dan bersedia untuk menerima kehadiran petugas media yang akan membuat liputan sambutan Hari Kebangsaan 2023 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’.

“Kami galakkan semua pengamal media untuk datang, tapi yang penting mereka perlu mempunyai kad perakuan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan, syarat ini kami perketatkan.

“Bagi memudahkan urusan pengamal media kami akan mewujudkan satu kumpulan Whatsapp sementara bagi berkongsi maklumat dengan segera selain menyediakan plug point dan sambungan wifi 5G, makanan serta minuman di pusat media ini,” katanya di Pusat Media sambutan Hari Kebangsaan di Auditorium Cempaka Sari di sini.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata semua pihak yang terlibat termasuk petugas media digalakkan untuk menguji capaian liputan Internet dan isyarat telekomunikasi talian masing-masing semasa raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2023 pada 29 Ogos ini.

Sementara itu, Sivabalan mengingatkan petugas media yang bertugas membuat liputan agar menjaga etika dan mengikut arahan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran perjalanan program sambutan.

Beliau berkata kira-kira 500 pengamal media tempatan dan luar negara dijangka membuat liputan sambutan Hari Kebangsaan dan ia memberikan cabaran dari segi pengurusan media.

“Pihak urusetia Jawatankuasa Media dan Publisiti akan berada di serata lokasi untuk memastikan para media tidak kira antarabangsa atau dalam negeri mematuhi segala peraturan yang kami tetapkan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com