PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di Dataran Putrajaya pada jam 8 pagi sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66.
Baginda turut diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba pada jam 7.55 pagi bersama beberapa lagi pihak kenamaan.
Sambutan dimulakan dengan persembahan lagu tema Hari Kebangsaan 2023 daripada Kementerian Pendidikan melibatkan 1,500 murid.
Sementara itu, acara perbarisan pada kali ini melibatkan sekitar 17,000 peserta yang terdiri daripada 10 komponen.
Selain itu, acara yang paling dinantikan pada hari ini sudah semestinya pertunjukan udara membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa.
Ini termasuk pertunjukan 516 aset kenderaan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sambutan mengingati hari kemerdekaan ini kembali diraikan di Dataran Putrajaya berikutan sebelum ini acaranya disambut di Dataran Merdeka.
Sambutan di Putrajaya kali ini adalah yang kelima selepas kali pertama pada 2003, disusuli 2005, 2018 dan 2019.