Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Kejayaan India dalam liputan digital harus dicontohi ASEAN, Malaysia

Kejayaan India dalam liputan digital harus dicontohi ASEAN, Malaysia

oleh Ammar Haziq

JAKARTA : Kejayaan India yang dianggap ‘menakjubkan’ dalam menyediakan liputan digital di kawasan pedalaman negara itu, harus dicontohi dan dipelajari negara ASEAN, khususnya Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan pencelahan sempena Persidangan Kemuncak ASEAN-India ke-20 pada Khamis berkata, beliau berpandangan India perlu memainkan peranan untuk meningkatkan liputan digital di rantau ini.

Beliau berkata, ASEAN dan Malaysia secara khusus sejak tradisinya telah menganggap India sebagai rakan strategik yang sangat penting.

“Kejayaan menakjubkan anda dalam penyediaan liputan digital, termasuk kawasan pedalaman adalah sesuatu yang kami mesti pelajari. Dan ini termasuk penyediaan sistem kewangan dan perbankan yang kompleks di kawasan pedalaman dan kawasan rakyat miskin.

“Dan walaupun saya rasa ia tidak dibangkitkan dalam cadangan awal ASEAN, tetapi saya secara peribadi beranggapan India perlu terokai isu seperti ini, dan mungkin boleh memberi sumbangan yang besar bagi mencapai kejayaan,” katanya kepada delegasi India yang diketuai Perdana Menterinya, Narenda Modi.

Menyentuh mengenai kerjasama ekonomi, Anwar berkata, Malaysia mengalu-alukan penubuhan ASEAN-India Trade in Goods Agreement (AITIGA) yang dijangka dimuktamadkan pada 2025, dan akan memberi impak kepada usaha menangani isu keterjaminan makanan.

“Keterjaminan makanan (di India) adalah satu lagi lagi pencapaian menakjubkan biarpun di sebalik impak cabaran perubahan iklim ketika ini. Kami percaya ASEAN boleh memanfaatkan pengalaman India yang luas dalam bidang pertanian, dan mewujudkan kerjasama dalam pertanian pintar.

“ASEAN dan India perlu bekerjasama untuk membangunkan agenda yang lebih proaktif, yang mempromosi keterangkuman, dan pembangunan mampan, serta meningkatkan kerjasama dalam tenaga boleh baharu, pengurusan sumber air, serta pengekalan biodiversiti hutan,” katanya lagi.

Anwar turut menyentuh mengenai cabaran geopolitik, dan beliau berasakan ASEAN dan India perlu terus menggunakan hubungan baik dengan negara-negara lain untuk menggalakkan dialog, kerjasama bagi mengekalkan keamanan, khususnya berkaitan Laut China Selatan.

“Jadi kami ASEAN bersama dengan anda, terutamanya dalam visi One Earth One Family One Future, yang saya merasakan sesuatu yang sangat dekat dengan Malaysia dan Asia,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com