Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional PM Anwar akan hadir CAEXPO ke-20 di Nanning

PM Anwar akan hadir CAEXPO ke-20 di Nanning

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengetuai delegasi untuk menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20 di Nanning, China, pada 17 Sept.

Beliau dijadual menyampaikan ucapan pada majlis perasmian CAEXPO dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) bersama Perdana Menteri China Li Qiang dan pemimpin ASEAN yang lain, serta merasmikan “Astaka Malaysia” pada ekspo itu, menurut kenyataan Kementerian Luar pada Sabtu.

Semasa lawatan itu, Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Li untuk membincangkan hubungan dua hala Malaysia-China, selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Li juga akan menganjurkan majlis jamuan tengah hari bagi meraikan Anwar, menurut kenyataan itu.

Delegasi Malaysia disertai Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.

CAEXPO, satu daripada pameran antarabangsa terbesar anjuran bersama China dan ASEAN yang berfungsi sebagai platform penting untuk ahli perniagaan dan perusahaan dari rantau ASEAN dan China bagi meneroka sinergi perniagaan, selain mempromosikan produk keluaran mereka dalam kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia.

Tahun ini, sebanyak 107 syarikat Malaysia daripada pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, kesihatan dan kesejahteraan, gaya hidup dan produk hijau akan menyertai ekspo itu di bawah Astaka Malaysia, yang diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Malaysia telah menyertai ekspo itu sejak penubuhannya pada tahun 2004.

Pada tahun 2022, China merupakan rakan dagangan terbesar ASEAN, dengan nilai dagangan berjumlah RM3.19 trilion (AS$722.2 bilion), meningkat 7.8 peratus daripada tahun 2021.

Nilai pelaburan langsung asing dari China ke ASEAN pula dicatatkan sebanyak RM67.52 bilion (AS$15.3 bilion) pada tahun yang sama

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com