Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Benarkah Ustaz Ebit timbulkan fitnah

Benarkah Ustaz Ebit timbulkan fitnah

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR – Kunjungan penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew ke sebuah rumah usang yang didiami berbelas orang ahli keluarga termasuk seorang datuk yang lumpuh di Lorong Gedebang, Jalan Langgar di sini hari ini telah mencetuskan polimik dalam kalangan pemimpin setempat dan netizen.

Pada kunjungan tersebut, Ustaz Ebit terkejut dan menangis melihat kehidupan keluarga tersebut yang serba daif.

Beliau dalam ciapannya dalam Facebook berkata; “Tengok ic semua tadi. Orang sini juga. Sedih hati ini. Tolonglah ya Allah. Bertahun dah begini…hari ini saya dah tak boleh tahan menangis jer.”

Tahniah dan terima kasih kepada Ustaz Ebit yang sudi meluangkan masa dan datang dari jauh untuk melawat serta membantu kepada keluarga malang itu.

Namun, polimik mula timbul apabila para netizen dari seluruh negara mempersoalkan kenapa keluarga tersebut sanggup tinggal dalam rumah yang sempit dan tidak selesa itu dalam tempoh bertahun-tahun lamanya.

Ustaz Ebit Lew

Netizen mula mempersoalkan peranan masyarakat dan pemimpin serta agensi kerajaan negeri yang seolah-olah mengabaikan keluarga berkenaan.

Ada netizen mendakwa pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan negeri sekadar melepas batuk di tangga membantu keluarga tersebut.

Bila isu keluarga iti timbul, mulalah pegawai terlibat saling membuka fail dan rekod bantuan yang disalurkan selama bertahun-tahun.

Netizen juga melihat tiada tindakan tegas diambil dalam membantu keluarga tersebut seperti menyediakan bantuan rumah dan pendidikan kepada anak-anak keluarga tersebut.

Mereka saling bertanya-tanya, mengapa selama ini datuk yang kena strok itu tidak dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lebih baik. Kalau ahli keluarga yang tidak mahu bawa datuk mereka itu ke hospital, tidak adakah pegawai kesihatan yang datang memberi rawatan dan membawanya ke hospital.

Selain itu, netizen mempertikaikan sejauh mana peranan pakar kaunseling dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pelajaran dan Jabatan Agama Islam bagi membuka pintu hati keluarga tersebut untuk mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

Mereka berpendapat pakar kaunseling berkenaan sepatutnya berusaha keras memujuk keluarga tersebut sehingga berjaya hati keluarga lembut dan terbuka untuk ‘berhijrah’ menjadi keluarga yang terurus.

Sementara itu, bagi pihak Masjid Al-Irfan Derga pula mendakwa caipan oleh Ustaz Ebit Lew berkenaan lawatan beliau ke sebuah keluarga fakir miskin dalam kariah masjid itu menimbulkan persoalan dan fitnah bahawa pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman, Jabatan Kebajikan Masyarakat – JKM. termasuk Masjid Al-Irfan Derga mengabaikan keluarga ini.

Dalam satu kenyataan pihak Masjid Al-Irfan Derga memberi beberapa penjelasan berhubung isu berkenaan.

  1. Keluarga ini menerima bantuan bulanan berupa wang ringgit oleh pihak LZNK, JKM termasuk dari Masjid Al-Irfan Derga sendiri, jadi kenyataan bahawa mereka diabaikan oleh pihak2 berkenaan adalah tidak benar.
  2. Keluarga ini juga turut ditawarkan rumah Asnaf yang lebih selesa oleh pihak LZNK namun ditolak oleh keluarga ini atas alasan yang tidak diketahui.
  3. Keluarga ini sudah mendiami kawasan tersebut sejak sekian lama, walau bagaimanapun tanah yang didiami itu bukan milik mereka. Jadi ini sekaligus menyukarkan pihak LZNK dan yang berkenaan untuk membina rumah bagi keluarga ini diatas tanah tersebut.
  4. Bahkan semasa PKP ini, keluarga ini turut menerima bantuan bekalan makanan dari pihak Masjid Al-Irfan Derga yang disampaikan melalui Bendahari Masjid, Tuan Haji Osman yang mewakili Tuan Imam, Ustaz Abdul Hadi.
  5. Diharap agar masyarakat terutamanya tidak sewenang2 menuduh atau memberi tohmahan bahawa keluarga ini diabaikan oleh pihak yang berwajib.
  6. Usaha Ustaz Ebit dalam membantu mereka yang memerlukan merupakan satu usaha yang mulia dan terpuji, walau bagaimanapun semoga Ustaz dapat berhubung dengan pihak yang berwajib untuk mendapatkan info mengenai mereka-mereka yang memerlukan ini.

Polimik yang timbul daripada keluarga miskin itu diharapkan dapat menemui jalan penyelesaian terbaik demi masa depan anak-anak keluarga tersebut yang masih kecil.

Pada masa sama, kerajaan negeri perlu mencari jalan penyelesaian terbaik dan bukan masa untuk menuding jari dengan mengungkit isu tersebut berlaku sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pas sebelum ini lagi.

Soal-soal politik perlulah diketepilan dahulu dan jalankan kerja untuk kepentingan rakyat. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com