PAS Kedah merakamkan penghargaan serta ucapan tahniah kepada majoriti ahli parlimen yang telah meluluskan Belanjawan 2021 secara kolektif demi kesejateraan rakyat. Ternyata kebajikan dan keprihatinan kepada rakyat mengatasi kepentingan politik kepartian masing-masing.
Ini bertepatan dengan titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang meminta semua ahli parlimen untuk mendokong belanjawan kali ini yang amat penting bagi menangani pandemik Covid19 serta pemulihan ekonomi. Baginda melihat keperluan agar keselamatan dan kesejahteraan sentiasa dalam keadaan yang terkawal demi kemaslahatan negara.
PAS Kedah juga menyokong penuh usaha-usaha yang digariskan dalam pelan pemulihan ekonomi agar impak kemerosotan pendapatan tidak menjerumuskan negara kepada bencana inflasi. Inisiatif baru berdasarkan keadaan ekonomi semasa serta penjimatan perbelanjaan secara menyeluruh perlu diberi perhatian khusus serta seiringan ketika negara meminta rakyat agar sentiasa berjimat cermat.
PAS Kedah juga meminta rakyat agar manfaatkan sebaiknya sumbangan one-off serta bantuan segera kerajaan, perlanjutan moratorium pembayaran pembiayaan bank dan kemudahan pengeluaran wang pencaruman KWSP. Ternyata kerajaan Perikatan Nasional sentiasa amat prihatin serta mendengar keluh kesah penderitaan rakyat.
وَعَنْ أَبِي صِرْمَةَ – رضى الله عنه – قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم -{ مَنْ ضَارَّ مُسْلِمًا ضَارَّهُ اَلله, وَمَنْ شَاقَّ مُسَلِّمًا شَقَّ اَللَّهُ عَلَيْهِ } أَخْرَجَهُ أَبُو دَاوُدَ وَاَلتِّرْمِذِيُّ وَحَسَّنَهُ.
Daripada Aisyah RA, dia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :
Wahai Tuhanku, barangsiapa yang dilantik menguruskan urusan umatku ini lalu dia menyusahkan urusan umatku, maka susahkanlah (urusan) mereka. Dan barangsiapa yang dilantik menguruskan urusan umatku dan dia melakukannya dalam keadaan yang lembut dan baik maka Engkau berlaku lembutlah terhadap mereka.
(Sahih Muslim, no: 1828)
“اسلام ممڤركوكوه ڤرڤادوان”
AHMAD BIN YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
6 Rabiul Akhir 1442H | 22 November 2020