KENYATAAN MEDIA PERSATUAN INSAN BAKTI PERLIS, 27 MAC 2021
Persatuan Insan Bakti Perlis mengikuti rapat isu pendaftaran automatik dan Undi 18 tahun yang dijangka hanya dapat dilaksanakan selepas 1 September 2022 dan kami berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mengkaji semula perkara ini.
Kenyataan oleh SPR pada 25 Mac 2021 jelas mengecewakan pengundi-pengundi berusia 18 tahun kerana sebelum ini kelompok ini telah diberikan bayangan akan dibenarkan untuk mengundi pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).
Golongan muda berumur 18 tahun harus diberikan hak untuk mengundi kerana secara tidak langsung dapat melatih mereka membuat keputusan terbaik memlih pemimpin yang tepat.
Banyak negara yang telah menurunkan had mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan Malaysia juga seharusnya seiring untuk membuktikan negara ini juga mengamalkan hak demokrasi selain tidak menafikan hak 1.2 juta orang belia berusia 18 hingga 20 tahun untuk menentukan masa depan mereka memilih kerajaan yang terbaik.
Harus juga ingat bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi Undi 18 tahun dan pendaftaran automatik telah mendapat sokongan penuh kesemua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai 2019 dan seharusnya sudah cukup masa untuk melaksanakan pendaftaran automatik dan Undi 18 tahun.
Ramai pihak termasuk penyokong kerajaan dan ahli pembangkang menyatakan pendapat bahawa undi 18 tahun harus diteruskan dan bukannya melambat-lambatkan proses tersebut.
Perkembangan di seluruh dunia bahawa banyak negara telah membenarkan belia berusia 18 tahun boleh mengundi dengan memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya juga harus diberikan segera kepada belia 18 tahun di negara ini.
FIRDAUS ABD RAZAK, Pengerusi Insan Bakti Perlis.