Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Mayat mangsa masih genggam siput ditemui

Mayat mangsa masih genggam siput ditemui

oleh Ammar Haziq
FOTO MARITIM MALAYSIA

OP CARILAMAT: MAYAT PEKERJA HOTEL DITEMUI, MRSC LANGKAWI TAMATKAN OP CARILAMAT

LANGKAWI, 28 Jun – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) ke atas seorang mangsa yang hilang di laut berdekatan Pantai Kuala Muda Langkawi ditamatkan pada jam 12.00 tengah hari berikutan penemuan mayat mangsa awal pagi ini.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, sekitar jam 7.30 petang semalam, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan daripada Balai Polis Teriang memaklumkan berkaitan kehilangan mangsa.

Sejurus menerima maklumat, Op CARILAMAT terus diaktifkan dan bot Petir 81 telah diatur gerak ke lokasi yang dilaporkan.

Tinjauan oleh pasukan CARILAMAT bot Petir 81 semalam, tidak menemui sebarang petunjuk berikutan cuaca gelap yang menghadkan jarak penglihatan serta kawasan air cetek menyukarkan lagi pencarian.

Berikutan itu, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di lokasi yang dilaporkan hilang, pada jam 7.00 pagi tadi dan MRSC Langkawi mengkoordinasikan CARILAMAT dengan dibantu bersama Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan bot-bot nelayan tempatan.

Mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian dan menggenggam siput di tangan telah ditemui oleh bot nelayan tempatan yang turut menyertai Op CARILAMAT di kawasan sekitar 1.0 batu nautika barat Pantai Kuala Muda pada jam 11.00 pagi tadi.

Mangsa Chamlong Onthadi, 54 tahun warga Thailand yang berkerja sebagai tukang kebun di Hotel Century di pantai berkenaan dipercayai telah hilang semasa keluar ke pantai untuk mencari siput di lokasi Pantai Kuala Muda.

Rakan mangsa yang cuba menjejaki mangsa menemui sepasang selipar dan seekor anak anjing di pantai petang semalam dan mengesyaki mangsa telah hilang semasa mencari siput.

Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim agar tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Negeri Kedah dan Perlis 04-9662750 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam sehari.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com