UUM, Sintok – Perdana Menteri telah mengumumkan pelaksanaan moratorium bayaran balik pinjaman bank kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20 dan usahawan mikro semasa pembentangan pelan bantuan baharu dikenali sebagai pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Jun lalu.
Selari dengan usaha kerajaan itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) turut mengambil inisiatif untuk meringankan beban staf melalui pemberian moratorium buat kali kedua kepada staf sebagai jalan keluar dari kemelut pandemik yang belum berakhir.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, UUM amat prihatin terhadap nasib staf yang terkesan akibat pandemik Covid-19 itu dan pihak universiti komited menjaga kebajikan dengan sebaiknya.
“Saya sentiasa mendengar keluh-kesah dan memahami kebimbangan yang dirasai oleh staf ketika ini. Oleh itu, pihak pengurusan UUM sentiasa berusaha dan berikhtiar mencari jalan bagi membantu meringankan beban staf di musim pandemik.
“Sehubungan itu, UUM mengambil langkah melaksanakan moratorium pinjaman kepada staf yang terlibat mulai Ogos depan sehingga Disember 2021 secara automatik tanpa perlu ada dokumen sokongan untuk kelulusan,” katanya.
Kali pertama moratorium diberikan pada April hingga September tahun lalu dan tahun ini merupakan kali yang kedua akan dilaksanakan.
Menurutnya, beliau berharap inisiatif moratorium ini sedikit sebanyak membantu peminjam dalam kalangan staf untuk menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini.
Katanya, UUM bertekad akan terus memberikan khidmat terbaik kepada staf yang dikasihi dan terus berjuang setiap masa, meskipun dalam limitasi bagi memastikan kampus berada pada landasan pemulihan yang tepat dan kebajikan terus terbela.
Sementara itu, dalam usaha membantu kerajaan melancarkan program vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok, UUM bersedia untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Ahmad Bashawir berkata, universiti sedia memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan PICK yang diumumkan untuk menyediakan akses yang lebih banyak dan baik kepada rakyat untuk divaksin.