LANGKAWI, 22 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C yang disyaki melakukan kesalahan menjalankan aktiviti perikanan di kawasan dilarang pada kedudukan 3.0 batu nautika tenggara, Pulau Chorong, Langkawi, sekitar jam 3.49 pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, bot tersebut ditahan menerusi rondaan rutin OP BENTENG dan OP AMAN.
Semasa dikesan, bot berkenaan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan dengan menggunakan pukat tunda.
Pemeriksaan mendapati, bot dengan pendaftaran PSF 2435 itu, dikendalikan tujuh kru termasuk tekong, berumur antara 23 hingga 44 tahun.
Tekong bersama tiga daripada kru merupakan warga tempatan, manakala tiga lagi kru adalah warga Thailand yang memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Bot PSF 2435 bersama hasil tangkapan ikan campur seberat lebih kurang setengah tan serta tujuh kru kemudian ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya. Pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara.
Justeru, orang ramai dan komuniti maritim khususnya dimohon agar dapat berkerjasama dalam menyalurkan laporan berkenaan aktiviti jenayah di laut menerusi panggilan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis yang beroperasi 24 jam sehari di nombor talian 04-9662750 atau MERS 999.