Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Kejayaan Bonnie buka mata ramai pihak

Kejayaan Bonnie buka mata ramai pihak

oleh Ammar Haziq
Kejayaan Bonnie jadi inspirasi kepada atlet OKU lain di negara ini. Gambar kecil : Jasnizam

KUALA NERANG – Kejayaan atlet paralimpik angkat berat negara, Bonnie Bunyau Gustin merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 mampu membuka mata ramai pihak untuk memperkasakan sukan golongan oku di negara selepas ini.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Padang Terap, Jasnizam Husni berkata, kejayaan ini pastinya membuka ramai pihak termasuk ibu bapa untuk sama-sama mencungkil bakat atlet-atlet orang kurang upaya (OKU) yang lain di negara ini.

“Apa yang diraih oleh Bonnie ini seharusnya menjadi pemangkin semangat kepada pihak-pihak berkaitan untuk sama-sama mencungkil bakat atlet OKU lain.

“Saya difahamkan ganjaran RM1 juta menerusi skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) menanti Bonnie bagi pemenang pingat emas Olimpik, sudah tentu kejayaan ini juga dapat membantu keluarganya secara tidak langsung,” katanya kepada Kedah Gazette.

Pada Sabtu, Atlet paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin menghadiahkan pingat emas sulung negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam acara powerlifting dalam kelas 72 kilogram (kg).


Bonnie merangkul emas dengan angkatan terbaiknya 228 kg sekali gus memecahkan rekod temasya yang sebelum ini dipegang atlet Iraq, Rasool Mohsin 227kg yang dilakukan ketika di Rio de Janeiro.

Jasnizam berkata, ibu bapa yang juga mempunyai anak OKU tidak perlu malu sebaliknya mengenal pasti kebolehan anak-anak masing untuk diketengahkan ke dalam bidang sukan.

Jelasnya, kerajaan banyak menyediakan kemudahan kepada golongan ini untuk sama-sama mempertingkatkan pontensi yang ada ke tahap lebih baik di dalam semua lapangan seperti akademik, sosial, pekerjaan dan juga sukan.

“Jadikan kejayaan Bonnie dan atlet-atlet paralimpik negara lain sebagai pemangkin semangat.

“Kejayaan-kejayaan atlet para lain seperti Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi meraih pingat emas pertama Malaysia dalam acara 100m T36 (celebral palsy), manakala Muhammad Ziyad Zolkefli pula meraih pingat emas dengan mencipta rekod dunia baharu dalam acara lontar peluru di Paralimpik Rio, Brazil 2016 membuktikan kita tidak ketandusan bakat sukan daripada golongan ini,” katanya lagi. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com