Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional BERNAS Perluas Lokasi SMART SBB kepada 12 lokasi

BERNAS Perluas Lokasi SMART SBB kepada 12 lokasi

oleh Ammar Haziq
Usaha berterusan Bernas bersama pesawah menerusi program Smart SBB bagi mencapai objektif mentransformasi sektor padi dan beras negara.

Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) terus memacu perkembangan yang positif dengan melebarkan keluasan hektar ladang padi di bawah Program Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

Bermula dengan dengan empat lokasi penanaman pada awal tahun lepas, usaha kini diperluaskan kepada 12 lokasi di seluruh negara.

Setakat ini, lokasi yang terlibat meliputi kawasan di Sungai Batu Pahat dan Titi Tinggi di
Perlis, Bukit Besar, Kedah; Sungai Manik, Perak; Tok Kamis dan Jelor, di daerah Pasir Putih, Kelantan; Gong Dasar, Terengganu; Gancong Hulu, Rompin Pahang; Batang Lupar, Sarawak serta Kampung Kalumbai, Kota Belud di Sabah.


SMART SBB merupakan satu program kerjasama di antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), syarikat – syarikat peneraju seperti BERNAS, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan lain-lain lagi bersama pesawah.


Norhisham Abdul Rahman, Ketua Jabatan Pengurusan Ladang BERNAS berkata penglibatan pesawah merupakan elemen terpenting program ini.

“Sehingga kini, BERNAS telah berjaya membentuk pakatan kerjasama yang baik dengan hampir 465 orang pesawah berdaftar. Apa yang pasti, program ini tidak mungkin berjaya tanpa komitmen yang tinggi daripada para pesawah,” kata beliau.


“Usaha kolektif secara berterusan ini amat penting dalam mendedahkan para pesawah tempatan dari segi pembangunan dan pengamalan teknologi pengurusan tanaman padi yang bersesuaian dengan perkembangan semasa, sekaligus mencapai objektif mentransformasi sektor padi dan beras negara,” ujar Norhisham lagi.


Turut bekerjasama sebagai rakan pembimbing dalam usaha ini adalah agensi-agensi pertanian utama seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) , Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Jabatan Pertanian Negeri (JPN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan sebagainya.

Penggunaan kaedah teknologi terkini seperti dron mengubah landskap pertanian konvensional.

Program SMART SBB BERNAS Menerapkan Amalan Pertanian Lestari


Beralih dari konsep pertanian konvensional, Program SMART SBB BERNAS memfokuskan ke arah amalan pertanian lestari dan berteknologi tinggi. Bagi merealisasikan usaha ini, BERNAS yang merupakan antara perintis amalan pertanian lestari dalam sektor penanaman padi, turut bekerjasama bersama agensiagensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi tempatan.


“Kolaborasi strategik ini merupakan satu platform di mana mereka akan menawarkan khidmat nasihat serta kepakaran di dalam bidang yang berkaitan,” tambah Norhisham.


“Pelbagai inisiatif sedang dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat seperti amalan kejuruteraan ekologi dalam Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM). Turut dititikberatkan ialah penggunaan jentera moden yang berupaya memelihara kelestarian tanah, penggunaan teknologi dron pelbagai aplikasi, pengamalan jadual kerja ladang yang lebih sistematik dan pelbagai amalan pertanian baik yang lain,” katanya.


“BERNAS percaya bahawa ini merupakan suatu perancangan yang tepat ke arah pembangunan sektor padi tempatan, sekaligus memupuk kesedaran akan kepentingan pemeliharaan alam sekitar, mewujudkan keseimbangan ekologi di sawah, melindungi kesihatan pesawah dan memperbaiki pengetahuan teknikal pesawah termasuk kawalan penyakit di sawah,” akhiri beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com