AIDID ILHAM
ALOR SETAR – Individu yang maut akibat terjun dari tingkat empat sebuah pusat membeli-belah di Alor Setar pagi tadi merupakan pemegang kad rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan baru menjalani rawatan susulan di hospital berkenaan, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dalam kejadian antara pukul 10 hingga 10.30 pagi itu, lelaki berkenaan yang berusia 65 tahun sempat diperhatikan pergerakannya oleh seorang pengawal keselamatan.
“Ketika berada di tingkat empat, pengawal keselamatan sempat melihat pergerakan lelaki itu dalam keadaan mencurigakan. Dia kemudiannya melihat lelaki itu memanjat pagar penghadang untuk terjun dan cuba menghalang namun gagal walaupun sudah mencuba sehabis daya berbuat demikian.
“Setakat ini kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat terhadap mayat mangsa akan dijalankan,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.
Ahmad Shukri menambah, keluarga mangsa mengesahkan bahawa lelaki itu sememangnya memiliki kad rawatan psikiatri di HSB.
“Dia dikatakan tidak pernah berkahwin dan sering datang ke pusat membeli-belah ini seorang diri,” katanya.
Dalam pada itu pusat membeli-belah tersebut dalam satu kenyataan meminta orang ramai agar tidak berkongsi gambar serta video memaparkan keadaan mayat individu terlibat bagi menghormati keluarga si mati.
“Kami berterima kasih atas keprihatinan serta rasa hormat ditunjukkan terhadap keluarga mangsa,” katanya.