Sungai Petani, 19 Sept – Seorang wanita ditumbuk serta ditendang suami yang tidak berpuas hati kerana isterinya itu mengajak anak sulung mereka bekerja bersamanya di sebuah kedai haiwan peliharaan.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa yang berusia 37 tahun ditumbuk di muka serta ditendang pinggang ketika berada di rumah mereka di Sungai Lalang, Bedong Sabtu lalu.
Sebelum itu, wanita malang terbabit yang berusia 37 tahun pada mulanya betengkar dengan suami yang berusia 39 tahun selepas lelaki itu mengetahui anak mereka mahu mengikutnya bekerja secara sambilan.
Menurut sumber, si suami enggan membenarkan anak lelaki mereka yang berusia 17 tahun itu mengikut isterinya bekerja tanpa sebarang alasan sebelum berlaku kekecohan dan pertengkaran antara pasangan terbabit.
“Ketika bertengkar, suami wanita terbabit tidak dapat mengawal kemarahan dan dia secara tiba-tiba bertindak luar dugaan apabila menampar muka dan menendang pinggang isterinya tanpa belas kasihan.
“Wanita terbabit hanya mampu merintih menahan sakit sambil dilihat empat anaknya dan dia yang sudah tidak tahan dengan kelakuan suami membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.
Sumber berkata, susulan daripada laporan dibuat mangsa, polis menahan suspek yang ketika itu berada di rumah kira-kira jam 5 petang semalam.
“Hasil siasatan lanjut, isterinya mendakwa suspek memang seorang yang agak panas baran selain gemar minum air ketum dan kerap memanggilnya dengan panggilan pelacur.
“Selain itu, ini juga adalah kali ketiga wanita berkenaan membuat laporan polis selepas menjadi mangsa pukul suaminya namun dia menarik kembali laporan sebelum ini kerana kasihan selain mendakwa mahu memberi peluang untuk lelaki itu berubah,” katanya.
Sumber berkata, bagaimanapun lelaki terbabit langsung tidak menghargai pengorbanan isterinya itu dan dia tetap dengan perangai lama yang mudah naik angin dan gemar memukul mangsa tanpa sebab.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa dan juga penahanan suspek.
“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.