UALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bantahan terhadap permohonan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, supaya Mahkamah Tinggi Alor Setar menentukan persoalan berkaitan pengampunan yang diberikan kepadanya lima tahun lalu.
Permohonan Muhammad Sanusi itu adalah berkaitan kes saman fitnah difailkan Anwar terhadapnya pada 13 Disember tahun lalu, berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan Ahli Parlimen Tambun dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.
Dalam afidavit jawapan difailkan 25 April lalu melalui Tetuan S N Nair di Mahkamah Tinggi Alor Setar,
Anwar menyatakan permohonan Muhammad Sanusi mengenai pengampunan diraja yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadapnya (Anwar) pada 16 Mei 2018 adalah di luar bidang kuasa mahkamah.
Presiden PKR itu berkata berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 181, memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan adalah kuasa yang tetap dan tidak terjejas.
“Terdapat pelbagai kes di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang mendukung prinsip perundangan itu dengan memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh mengesahkan atau mevariasikan apa-apa keputusan Yang di-Pertuan Agong.
“Ia termasuk keputusan untuk memberikan saya pengampunan, secara langsung membuktikan bahawa mahkamah tidak mempunyai apa-apa bidang kuasa untuk berbuat demikian,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa permohonan Muhammad Sanusi adalah tidak relevan, remeh, mengaibkan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah untuk membuat keputusan ke atas perkara-perkara yang tidak boleh diputuskan.
“Selaras pengampunan diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018, saya diampunkan secara penuh dan segala keburukan ke atas diri saya termasuk rekod-rekod mahkamah adalah diketepikan dan apa-apa kenyataan menyentuh perkara sama adalah fitnah serta boleh diambil tindakan,” kata Anwar menerusi afidavit itu.
Pada 31 Mac lepas, Muhammad Sanusi memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk menentukan beberapa persoalan undang-undang antaranya sama ada pengampunan diraja diberikan kepada Anwar pada 16 Mei 2018 adalah satu pengampuan penuh yang boleh mengetepikan sabitan kes jenayahnya.
Permohonan itu difailkan Muhammad Sanusi antaranya atas alasan berdasarkan rekod-rekod yang dirujuk olehnya, tidak terdapat sebarang bukti bahawa pengampunan tersebut secara efektif mengakas kesemua atau sebahagian sabitan jenayah serta memadam kesemua rekod sabitan jenayah lampau Anwar.