KUALA LUMPUR – Malaysia komited untuk mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030 ketimbang tahap pada tahun 2005.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi melaksanakan kebijakan ini, kerajaan dalam proses menyiapkan beberapa kerangka hala tuju yang akan diluncurkan pada separuh kedua tahun ini.
Katanya, antara yang paling utama adalah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) di mana pelan itu akan menggariskan strategi menyeluruh dan inisiatif-inisiatif berdampak tinggi bagi menyegerakan usaha ke arah peralihan tenaga.
“Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen pula akan menjadi pelengkap kepada NETR. Pelan ini akan membuka jalan bagi negara mencapai kemampanan alam sekitar dan keselamatan tenaga jangka panjang yang dipacu oleh inovasi teknologi.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan status terkini pelaburan projek penapisan dan petrokimia yang dinamakan PRefChem JV pada pegangan saham 50:50 antara rakan strategik Aramco dengan PETRONAS,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan persidangan antarabangsa Energy Asia 2023 edisi pertama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Beliau berkata penganjuran persidangan bertaraf global ini diyakini dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelabur untuk lapangan tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, ia mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam membawa negara mencapai sasaran pelepasan karbon sifar seawal tahun 2050.
“Bertemakan “Merintis Masa Depan Kelestarian Tenaga di Asia” (Charting Pathways to a Sustainable Asia), persidangan yang berlangsung selama tiga hari ini merupakan pentas dan ruang bagi bertukar pandangan para pembuat kebijakan dan pakar-pakar industri dari dalam dan luar negara, “jelas beliau.
Anwar memaklumkan sehingga kini, pelaburan untuk Projek Pengerang Integrated Complex (PIC) ini telah mencapai USD27 bilion di mana PETRONAS telah melabur sebanyak USD13.5 bilion, manakala Aramco telah melabur sebanyak USD7 bilion dengan baki oleh pelabur-pelabur lain.
Katanya, kilang penapisan ini dengan kapasiti penapisan sebanyak 300,000 tong minyak mentah sehari, akan menghasilkan julat 220,000 tong minyak mentah sehari produk petroleum ditapis, termasuk petrol dan diesel yang memenuhi spesifikasi bahan api Euro 5; menjadikannya kompleks penapisan terbesar di Malaysia dengan lebih daripada 2,000 pekerja.
Di samping itu, beliau berkata kilang penapisan ini akan menyediakan bahan mentah untuk kompleks petrokimia bersepadu yang mempunyai kapasiti untuk menghasilkan 3.4 juta tan setahun produk petrokimia untuk pelbagai kegunaan yang memberi manfaat dalam kehidupan seharian rakyat di rantau ini khususnya dan dunia secara amnya.
“Di kala kita melalui fasa peralihan secara progresif, Kompleks Bersepadu Pengerang mempunyai infrastruktur dan kawasan yang luas dan berpotensi tinggi untuk menarik pelaburan dan kerjasama untuk pembangunan selanjutnya.
“Membina strategi dan rangka kerja Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) yang komprehensif, pengenalpastian dan pembangunan medan penyimpanan karbon yang sesuai adalah kunci untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih.
“Untuk melanjutkan matlamat ini, PETRONAS juga pada hari ini telah memeterai Perjanjian Pembangunan CCS yang penting dengan TotalEnergies Carbon Neutrality Ventures (TotalEnergies) dan Mitsui & Co. Ltd. (Mitsui) untuk bersama-sama membangunkan projek Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) di Malaysia.
“Perjanjian ini akan membuka laluan yang meletakkan Malaysia sebagai hab CCS di rantau Asia Pasifik, “katanya.
Malaysia komited untuk mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau
302
Pos Sebelumnya