KUALA KEDAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya merampas 113 set bubu kambang atau bubu naga dalam tiga siri rampasan yang dijalankan di beberapa lokasi berbeza di perairan Tanjung Jaga hingga ke perairan Kuala Kerpan sepanjang minggu ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, operasi ini merupakan rondaan pemantauan rutin yang dilaksanakan berdasarkan aduan awam dan pemeriksaan secara langsung di lokasi berkenaan oleh pihak Maritim Malaysia.
Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan pelbagai taktik bagi mengaburi pihak berkuasa seperti pelampung penanda, pancang kayu dan beberapa alatan GPS yang mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran kira-kira 10 meter panjang itu.
Kesemua bubu naga yang dirampas yang dianggarkan bernilai hampir RM14 ribu telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.
Dalam operasi yang sama, Zon Maritim Kuala Kedah juga telah berjaya menahan lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Sudan dan Bangladesh ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah sebelum menerima maklumat risikan dan menahan sebuah feri yang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah pada 25 Jun lepas.
Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati empat warga Bangladesh hanya memiliki salinan surat United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) yang meragukan memandangkan permohonan pemilikan kad terbabit telah dihentikan dan seorang warga Sudan yang memiliki surat UNHCR yang telah tamat tempoh.
Berikutan itu, kesemua PATI terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih dari enam kali sebatan, jika disabit kesalahan.
Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.
Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.