Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Anggota perundangan negara diseru sokong tadbir urus baik – PM

Anggota perundangan negara diseru sokong tadbir urus baik – PM

oleh admin

KUALA LUMPUR:Kelompok anggota dalam bidang perundangan negara diseru agar terus menyokong inisiatif kerajaan menginstitusikan tadbir urus yang baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu boleh diperkukuh dengan menyokong ketelusan dan memperkukuh usaha semasa kerajaan untuk memastikan mereka dengan kawalan penuh ke atas tampuk kuasa, bertanggungjawab terhadap setiap penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah yang dilakukan.

“Tidak dinafikan bekerja keras untuk kebaikan masa depan adalah penting, tetapi yang sama pentingnya ialah untuk membawa pelaku rasuah di masa lepas ke muka pengadilan.

“Jika mereka diberi kebebasan tanpa akauntabiliti, ia umpama memberi kebenaran kepada mereka untuk melakukan penyalahgunaan kuasa pada masa depan.

“Kita perlu melihat demonstrasi semangat hebat (dalam membanteras perbuatan ini) daripada Badan Peguam Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa (IMLC) 2023 di sini semalam.

Menurut Anwar, ini adalah intipati akauntabiliti demokrasi, bahawa kita bukan sahaja bertanggungjawab, tetapi mesti juga dilihat bertanggungjawab, dan ini juga adalah ciri-ciri utama keadilan.

Dalam perkara ini, saya teringat kepada amanat Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah semasa menaiki takhta pada 1989 sebagai Yang di-Pertuan Agong, yang telah berikrar ‘untuk memerintah Malaysia dengan penuh keadilan berdasarkan Undang-undang dan Perlembagaan Negara…untuk menegakkan undang-undang dan menjamin keamanan negara’,” katanya.

Merujuk kepada kedaulatan undang-undang, Anwar berkata ia tidak boleh dilihat daripada prisma teori perundangan semata-mata kerana prinsip seperti itu tidak dapat direalisasikan jika orang ramai, atau mereka yang menghadapi kekangan sumber ekonomi, tidak mendapat akses kepada keadilan.

“Dalam hal ini, saya memuji Badan Peguam Malaysia atas usaha gigih mereka dalam menyediakan Bantuan Guaman, melalui skim yang ditubuhkan lebih 40 tahun lepas,” katanya.

Anwar berkata memandangkan profesion undang-undang adalah penting untuk pentadbiran keadilan dan memudahkan aktiviti ekonomi, adalah menjadi harapan beliau agar peguam di Malaysia meneruskan usaha bagi memartabatkan profesion undang-undang dan menjadi satu mercu tanda keadilan, untuk rantau ini dan seluruh dunia.

Perdana Menteri juga berkata “bersikap adil dan saksama” adalah salah satu ciri utama kebebasan kehakiman.

Perdana Menteri berkata apabila berbicara mengenai kebebasan badan kehakiman, tidak perlu berdolak-dalik lagi.

Beliau berkata ia bermakna bahawa “badan kehakiman seharusnya memberi keputusan mengenai perkara-perkara yang dirujuk kepada mereka secara saksama, berdasarkan fakta dan mengikut undang-undang, tanpa sebarang sekatan, pengaruh tidak wajar, dorongan, tekanan, ancaman atau campur tangan….”.

Dalam erti kata lain, katanya badan kehakiman yang bebas, tidak berat sebelah, dan cekap; adalah asas kepada kedaulatan undang-undang dan meyakinkan orang ramai.

“Kita boleh katakan ia adalah benteng keadilan itu sendiri,” katanya.

Beliau seterusnya berkata di atas kertas ia memang kedengaran mudah, namun dari sudut empirikal, melihat kembali kepada tahun-tahun tertentu pada masa lepas, kebebasan seperti itu mungkin tidak begitu jelas.

“Disebabkan pelanggaran prinsip pengasingan kuasa secara terang-terangan oleh mereka yang memegang tampuk kuasa tidak lama dahulu, kita telah menyaksikan serangan ketara dan ganas terhadap badan kehakiman,” katanya.

Anwar berkata kemuncaknya adalah kemerosotan proses keadilan itu sendiri, khususnya dalam kes-kes melibatkan ahli politik yang telah menimbulkan ancaman serius kepada pihak yang memegang tampuk kuasa ketika itu.

Beliau berkata apabila diugut oleh personaliti terbabit, akibatnya hakim-hakim tertentu membuat keputusan kehakiman yang benar-benar menyimpang daripada unsur-unsur keadilan dan cetusan hati nurani yang baik.

“Bagaimanapun berdiri saya di sini hari ini, saya boleh katakan dengan pasti, bahawa sejak saya memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, bahawa bukan sahaja saya tidak menceroboh walau sejengkal pun institusi kehakiman ini, malah saya akan mempertahankan dengan apa cara sekalipun, kebebasan badan kehakiman.

“Dalam perkara ini, saya harus memuji Ketua Hakim Negara kita Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun (Tuan Mat) atas peranannya yang berani dalam mengukuhkan kepercayaan kita terhadap Badan Kehakiman.

“Maksud saya disebabkan pendirian teguhnya mengenai kebebasan badan kehakiman serta para hakim secara keseluruhnya dalam menghadapi serangan bertalu-talu, hasrat untuk melihat kebebasan kehakiman yang berterusan kelihatan semakin bertambah cerah dan amat menjanjikan yang terbaik,” kata Anwar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com