KUALA LUMPUR – Ekonomi Madani, kerangka ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia, akan membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan dipetik Bernama berkata pengumuman ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’ adalah satu rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu-isu berkaitan daya saing dan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan serta menggariskan tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
Ia perihal mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan dua tumpuan utama iaitu menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, dan akhirnya memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti,” kata beliau semasa mengumumkan inisiatif Kerajaan Perpaduan itu di sini hari ini.
Selain pelbagai ikhtiar dilaksanakan di bawah Belanjawan Madani 2023 dan siri pengumuman yang digerakkan sejak menerajui kerajaan pada November 2022, beliau berkata Ekonomi Madani menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum tempoh 10 tahun.
Tujuh penanda aras itu adalah Malaysia berada di kedudukan 30 ekonomi terbesar di dunia, Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia, peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus, Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia, Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia, dan kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai tiga peratus atau lebih rendah.
Menggariskan tindakan tumpuan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia, Perdana Menteri berkata ia merangkumi ikhtiar untuk perlindungan sosial semua rakyat, pekerjaan dengan gaji bermakna serta perkongsian kekayaan bagi membina sebuah masyarakat yang lebih saksama dan sejahtera.
Menyatakan kepentingan bahawa hasil negara kelak akan diagihkan secara saksama kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah, Anwar berkata pembaharuan struktur ekonomi itu antara lain harus mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji bermakna, memberi kesaksamaan peluang serta mengadakan jaringan perlindungan sosial untuk semua.
Pembaharuan struktur ekonomi itu juga bakal membolehkan pelaksanaan reformasi perkhidmatan kesihatan, reformasi pendidikan dan sumber manusia, menyediakan infrastruktur dan pengangkutan awam serta mengadakan akses kemudahan asas dan perumahan mampu milik untuk semua.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan melaksanakan dasar yang menyokong peningkatan upah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada tahap 45 peratus selaras dengan tahap negara lebih maju.
Usaha ke arah itu termasuklah melakukan kajian semula tahap gaji minimum serta memperkenalkan undang-undang yang menjamin persekitaran kerja dan mengurangkan kebergantungan pada buruh asing kurang mahir.
“Kerajaan berhasrat melaksanakan levi pekerja asing berperingkat iaitu sebahagian peningkatan hasil levi akan dikhususkan untuk program automasi serta latihan untuk pekerja tempatan,” kata beliau.