BAGHDAD – Turkiye dan Malaysia akan mengukuhkan kerjasama dua hala dalam usaha menangani kebimbangan mengenai Islamofobia, kata Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan.
Fidan berkata perkara itu telah dibincangkan dengan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang ketika itu berada di Iran untuk lawatan rasmi sulungnya ke Iraq dari Rabu hingga Jumaat.
“Semasa pertemuan itu, perbincangan telah diadakan mengenai potensi jalinan kerjasama mengenai hubungan dua hala kami dan isu Islamofobia,” lapor Agensi Anadolu, memetik kenyataan Kementerian Luar Turkiye di platform sosial X.
Fidan, turut bertemu rakan sejawatannya, Timbalan Perdana Menteri Iraq bagi Hal Ehwal Hubungan Antarabangsa dan Menteri Luar Negeri, Dr Fuad Hussein.
Sementara itu, Zambry mengadakan pertemuan dua hala dengan Fuad susulan perbincangan yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri Biro Penyelaras Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada 5 Julai 2023.
Lawatan Zambry ke Iraq, menandakan lawatan rasmi pertamanya ke republik itu sejak memegang jawatan pada 2 Dis 2022, dan diiringi pegawai kanan kerajaan daripada kementerian dan ahli perniagaan.