JOHOR BAHRU – Kerajaan akan berusaha untuk mengurangkan kebergantungan import makanan negara dengan memperkasakan sektor pertanian negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sebagai usaha jangka sederhana yang akan diterajui Jabatan Pertanian dengan sasaran pelaksanaannya secara menyeluruh.
Katanya, negara mengimport produk makanan termasuk benih tumbuhan dengan nilai amat besar dan menelan kos hampir RM70 bilion setahun.
“Jangka sederhana bererti penanaman. Malaysia ini mempunyai hujan, air, kesuburan tanah, namun kita import produk makanan amat besar sehingga RM70 bilion setahun.
“Kerajaan India juga dilaporkan akan naikkan cukai eksport bawang merah dan bawang putih sehingga 40 peratus, ia bukan di bawah kawalan kita.
“Ia belum dilaksanakan (cukai eksport bawang) tetapi kita menjangka apabila dilaksanakan harga dua keperluan ini akan naik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kenduri Rakyat dan penyampaian Bantuan Bakul Rahmah di Dataran Taman Dahlia, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fauziah Salleh.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, program Jualan Rahmah mencatatkan jualan dan pengunjung yang tinggi setiap kali diadakan sekali gus membuktikan langkah kerajaan itu berjaya memanfaatkan rakyat.
Jelasnya, pencapaian tersebut menepis kritikan sesetengah pihak berkenaan isu harga barang tidak memberi impak kepada rakyat.
“Menerusi Jualan Rahmah, peniaga masih dapat keuntungan yang munasabah. Rakyat juga tidak menerima tekanan daripada peniaga sehingga harga barang itu terlalu tinggi.
“Ada hal yang kita kawal, telur dan ayam umpamanya untuk harga rendah, kerajaan yang tampung menerusi subsidi,” ujarnya.