Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional ASEAN 2023 : Malaysia kecewa lihat ketidakstabilan berterusan di Myanmar – Anwar

ASEAN 2023 : Malaysia kecewa lihat ketidakstabilan berterusan di Myanmar – Anwar

oleh admin

JAKARTA – Malaysia telah menzahirkan rasa kekecewaan terhadap kekurangan kemajuan ASEAN dalam melaksanakan langkah yang efektif bagi menangani ketidakstabilan di Myanmar.

Dalam sesi Pemukiman pemimpin-pemimpin ASEAN pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berpandangan pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC) di Myanmar masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

Lima perkara tersebut, antara lain ialah, menghentikan serta-merta keganasan di Myanmar; mengadakan dialog konstruktif bagi mencari penyelesaian yang aman; wakil Pengerusi ASEAN harus memudahcara dialog; perlu meneruskan bantuan kemanusiaan ke Myanmar; dan membenarkan wakil dan delegasi khas berjumpa dengan kerajaan Myanmar.

“Dalam platform ini, saya turut menyuarakan kekecewaan Malaysia terhadap kurangnya kemajuan bermakna dalam pelaksanaan 5PC, dan ketidakstabilan yang berterusan di Myanmar.

Saya tekankan bahawa ASEAN perlu menangani isu Myanmar dalam pendekatan yang diselaraskan, dan agar ASEAN memanfaatkan Rakan Dialognya, termasuk PBB.

“Nada tegas telah dilontarkan kepada Myanmar supaya menunaikan kewajipannya sebagai Negara Anggota ASEAN mengikut peruntukan dalam Piagam ASEAN,” katanya menerusi catatan di FB beliau sempena sesi permukiman tersebut pada Selasa.

Sementara itu dalam sesi tersebut, Anwar berkata, semua pihak harus mengakui tiada kemajuan telah tercapai biarpun Indonesia selaku Pengerusi ASEAN telah melakukan pelbagai langkah dan dialog, satu usaha yang tidak ada bandingnya sejak 20 tahun lepas.

“Presiden bersifat jujur untuk mencadangkan ada sedikit tindakbalas positif, tetapi kita tahu ia adalah sesuatu yang amat sukar untuk berhadapan dengan junta tentera Myanmar, yang tidak bersedia untuk menyerah atau untuk berbincang.

“Pada waktu ini saya tidak dapat melihat penyelesaian pantas terhadap konflik ini. Tetapi kita tidak harus mengambil ringan. Terlalu banyak keganasan yang sedang berlaku di Myanmar, walaupun kita perlu menerima hakikat tidak semuanya dilakukan oleh tentera, tetapi sudah tentu mereka perlu bertanggungjawab,” katanya lagi.

Anwar berkata, bagi sebuah negara seperti Malaysia, tidak boleh melihat ia sesuatu yang boleh ditangguh kerana krisis itu turut menimbulkan kesukaran kepada Malaysia sendiri.

“Kini jumlah pelarian telah mencecah 200,000 orang. Dan kesukaran ini termasuk berhadapan dengan negara yang enggan menerima pelarian ini. Dan mereka (Junta Myanmar) terus memerintah dengan bermaharajalela. Saya faham ada elemen keganasan, tetapi ramai di kalangan mereka adalah mangsa yang tidak bersalah,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com