KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Filipina, Gloria Macapagal Arroyo di bangunan Parlimen di sini, semalam.
Ketibaan Arroyo dan delegasinya pada 11.50 pagi tadi disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Timbalannya, Ramkarpal Singh.
Menerusi laporan Bernama, Anwar dan Arroyo yang juga Presiden Persidangan Antarabangsa Mengenai Kependudukan dan Pembangunan (ICPD) berbincang mengenai isu semasa termasuk pemansuhan hukuman mati mandatori dalam pertemuan selama 30 minit itu.
Sementara itu, Azalina selepas pertemuan itu berkata, Arroyo menyatakan kekaguman mereka terhadap Kerajaan Perpaduan yang mengambil langkah segera dalam menguatkuasakan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).
“Mereka kagum dengan kecepatan perubahan dasar dibuat dan semuanya kerana Perdana Menteri melihat ia perlu diubah dan Kerajaan Perpaduan Madani berjaya melakukan. Kerajaan sebelum ni banyak bercakap, berbincang tetapi tidak dapat melaksanakan, tapi, kita dapat melaksanakan sebagai satu komitmen kita kepada rakyat,” katanya.
Pada April lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan.
Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.