KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa seluruh rakyat untuk menghayati semangat Hari Malaysia tahun ini dengan rasa cinta yang mendalam terhadap negara, sikap ihsan dan kasih sayang serta perteguh perpaduan antara kaum.
Menerusi catatan di Facebooknya hari ini, Anwar yakin negara ini kuat dan mampu melonjak ke depan sekiranya seluruh rakyat berani menolak sikap prasangka dan memupuk persefahaman serta kasih sayang.
“Selamat Hari Malaysia kepada seluruh anak bangsa! Segulai sejalai,” menurut catatan itu.
Hari Malaysia tahun ini disambut dengan tema sama Hari Kebangsaan 2023 iaitu “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, manakala frasa bahasa Iban di Sarawak “Segulai Sejalai” yang bermaksud seiring sejalan pula adalah cogan kata perpaduan untuk seluruh negara.
Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan kali ini diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak malam ini.