NANNING: Syarikat-syarikat besar China yang mempunyai tapak perniagaan di Malaysia seperti – China Communications Construction Company (CCCC); Geely; dan Huawei – digesa untuk menitikberatkan perkongsian peningkatan kemahiran (upskilling) kepada tenaga kerja tempatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, itu antara perkara yang beliau kongsikan dalam pertemuan dua hala rakan sejawatannya dari China, Li Qiang, serta pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat berkenaan.
Beliau berkata, daripada maklum balas yang diperoleh, China memandang tinggi kepakaran tenaga profesional di Malaysia, namun kekurangan upskilling di peringkat tertinggi agak ketara.
“Apa faedahnya (daripada pertemuan-pertemuan tersebut) ialah penyertaan mereka dan dukungan Perdana Menteri Li supaya syarikat negara China turut lebih aktif melabur di Malaysia dengan menekankan soal latihan di peringkat ketiga iaitu upskilling.
“Seperti mana saya sebut dulu, semua pandangan mereka tentang tenaga profesional Malaysia, baik jurutera, juruteknik, pakar teknologi maklumat dan sebagainya dari Malaysia sangat baik, berdedikasi dan juga disiplin.
“Tetapi agak ketara kekurangan upskilling di peringkat tertinggi. Jadi dalam semua perbincangan termasuk dengan syarikat CCCC yang membangunkan ECRL di Pantai Timur, dan juga Geely, dan hari ini juga Huawei, semua saya tekankan syarat supaya tambah usaha penyelidikan di Malaysia, dan juga latihan khas harus diselenggara untuk anak-anak Malaysia,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kumpulan wartawan Malaysia bagi merumuskan lawatan kerja sehari beliau ke Nanning, China, sempena China-ASEAN Expo ke-12, dan China-ASEAN Business Summit and Investment Summit (CABIS), pada Ahad.
Dalam pada itu Anwar berkata, beliau gembira dengan komitmen China yang akan menamnah pembelian kelapa sawit sebanyak 500,000 tan.
“Ini sudah tentu akan menjamin kepentingan peneroka dan pengeluar pekebun kecil, kerana ini kali pertama di mana pertambahan besar dilakukan oleh China secara tetap.
“Selalunya mereka mengikut harga, tapi perjanjian import tetap dari China, penambahan daripada jumlah terdahulu sekitar RM2.5 bilion. Ini satu kategori sangat baik… kejayaan besar dari rakan-rakan (kementerian dan agensi) yang terlibat,” katanya lagi.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, beliau memahami pandangan sesetengah pihak yang melihat Malaysia terlalu cenderung mendapatkan pelaburan dan hasil ekonomi dari China, sedangkan negara itu sedang bersaing untuk memperluas pengaruh geopolitiknya.
Beliau menjelaskan, Malaysia sentiasa mengambil pendekatan pragmatik, dan kekal bebas, serta memastikan hasil pelaburan memberi pulangan yang dapat memanfaatkan Malaysia serta rakyatnya.
“Kita ambil pendekatan pragmatik … mengapa dengan China, kerana ekonomi mereka kukuh, pelaburan mereka besar, keupayaan import dari Malaysia lebih tinggi, perdagangan dua hala tertinggi Malaysia selama 14 tahun berturut-turut, tapi ini tidak memberi gambaran kita kurangkan perhatian kepada rakan-rakan lain seperti Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah (Asia Barat).
“(Sebagai contoh), apa penekanan tentang Belt Road Initiative (BRI), kerana kalau cadangan untuk pembinaan infrastruktur, itu harus bersama dengan syarikat tempatan yang ada kapasiti. Kedua, ia harus diberikan pulangan lebih baik, kos itu dapat ditanggung melalui dana awal oleh negara China dengan kadar lebih rendah,” katanya lagi.
Selain itu Perdana Menteri berkata, Malaysia juga dapat menimba manfaat daripada hubungan ekonomi yang kukuh dengan China, khususnya dalam bidang pemindahan teknologi, serta memastikan penggunaan tenaga tempatan yang lebih meluas.
Anwar berkata, beliau turut mengambil peluang mengulangi jemputan kepada Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li untuk mengadakan lawatan negara dan lawatan rasmi masing-masing ke Malaysia, sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun 2024.