ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos SaraHidup (KPDN) Negeri Kedah membuka dua kertas siasatan terhadap pengusaha stesen minyak kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21,Pelanggaran Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Pengarahnya, Affendi Rajni Kanth berkata, tindakan tersebut dibuat susulan penahanan pembeli minyak diesel di kedua buah stesen minyak secara berasingan, dekat sini pada petang Isnin.
Menurutnya, kejadian pertama melibatkan sebuah lori yang dijumpai dalam milikannya iaitu bahan api dengan anggaran sebanyak 3,000 liter diesel.
“Nilai rampasan bahan kawalan tersebut adalah sebanyak RM6,450 dan nilai barang rampasan lain adalah RM30,000.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM 36,450. Seorang lelaki dalam lingkungan umur awal 50-an telah ditahan bagi membantu siasatan,” katatany dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, dalam kejadian kedua pula melibatkan penahanan sebuah kenderaan pikap yang sedang mengisi diesel dalam tiga unit ‘tong drum’ di salah sebuah stesen minyak tersebut.
Menurutnya, jumlah diesel yang disita adalah sebanyak 81 liter dengan nilai rampasan sebanyak RM175 dan barang rampasan lain dianggarkan bernilai RM11,000.
“Nilai rampasan keseluruhan bagi kejadian kedua dianggarkan berjumlah RM11,175. Seorang suspek lelaki berusia dalam lingkungan lewat 40-an telah ditahan bagi memberi keterangan dan membantu siasatan,” ujar beliau.
Tambahnya, kedua-dua suspek telah gagal menunjukkan lesen atau permit kebenaran membeli bahan api ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.