Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Anwar terima kunjungan Ahmad Dhani

Anwar terima kunjungan Ahmad Dhani

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menerima kunjungan seniman Indonesia, Ahmad Dhani di pejabat beliau di Putrajaya.

Berkongsi pertemuan itu, Perdana Menteri merakamkan ucapan tahniah kepada Ahmad Dhani dan kumpulan Dewa 19 di atas pementasan konsert mereka di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, yang berlangsung malam tadi.

Dalam hantaran di akaun media sosial beliau, Anwar turut menitipkan harapan semoga industri muzik Malaysia dan Indonesia akan terus subur.

“Moga benih industri muzik Malaysia dan Indonesia terus subur dan mekar dalam menjiwai rumpun kebersamaan serta keharmonian sejagat. Teruskan berkarya!” kata hantaran berkenaan lagi.

Ahmad Dhani atau nama sebenarnya, Dhani Ahmad Prasetyo bersama anggota Dewa 19 mengadakan Konsert Dewa 19 A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia, malam tadi.

Pada konsert itu, selama tiga jam itu, Dewa 19 menyampaikan 34 lagu dengan diiringi 54 pemuzik orkestra dari Malaysia.

Diketuai maestro muzik Indonesia selaku konduktor, Guntur Nur Puspito, kumpulan asal Surabaya yang ditubuhkan sejak 1986 itu turut berkolaborasi dengan tiga artis tempatan iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Amir Masdi.

Antara lagu yang didendangkan adalah Arjuna, Elang, Risalah Hati, Roman Picisan, Bukan Cinta Manusia Biasa dan banyak lagi.

Konsert dibawakan khas oleh Icon Entertainment itu dibanjiri sekitar 7,000 penonton yang menggelarkan diri Baladewa dan Baladewi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com