KUALA LUMPUR: Peranan pegawai dan kakitangan hal ehwal agama dan agensi sangat instrumental dalam meratakan kefahaman Islam yang tepat serta mengangkat martabat umat.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan percaya melalui kompas tujuan yang jelas bersandarkan konsep Malaysia MADANI, perkhidmatan hal ehwal agama boleh memberi sumbangan yang lebih signifikan dalam membina Malaysia yang lebih baik.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri dialog bersama Pegawai Hal Ehwal Agama dan wakil agensi bersama dalam Siri Majlis Ilmu Madani di Putrajaya, pada Jumaat.
“Saya sempat kongsi dan mengajak hadirin mengimbau sejarah pengungkapan istilah masyarakat Madani seawal 1998, sehingga terluncurlah gagasan Malaysia Madani sebagai sebuah agenda negara tatkala diberi amanah sebagai Perdana Menteri.
“Kesempatan yang sama, saya tekankan kepentingan nilai dan akhlak yang merupakan kelompongan besar yang harus digarap dalam pembinaan negara, tamadun dan peradaban seperti mana yang ditekankan oleh Syeikh Taha Jabir al- Alwani dan Malik Bennabi.
“Hatta hal yang sama, yakni ledakan pancaran hati nurani yang suci (habit of the heart) turut ditekankan oleh pemikir Barat Alexis de Tocqueville sewaktu menyentuh keruntuhan moral dan nilai di Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Siri Majlis Ilmu Madani itu diteruskan dengan tausiah daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Luqman Abdullah, diikuti dengan dialog Perdana Menteri bersama Pegawai Hal Ehwal Agama dan wakil agensi agama.