ABU DHABI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Bandar Masdar di sini pada Jumaat, yang terkenal sebagai bandar lestari terancang pertama di dunia.
Bandar Masdar terletak enam kilometer dari lapangan terbang Abu Dhabi. Bandar itu yang juga zon bebas, direka menjadi hab perniagaan dan destinasi untuk syarikat teknologi bersih.
Projek yang dimulakan pada 2008, Masdar ialah visi perintis Abu Dhabi tentang sebuah bandar masa depan. Masdar yang bermatlamat menjadi bandar raya eko paling lestari di dunia, menjadi peneraju dalam membangunkan cetakan hijau bagaimana bandar dapat menampung perbandaran yang pesat dan mengurangkan tenaga, air dan sisa secara mendadak.
Anwar turut dijadualkan melawat Mohamed bin Zayed University of Artificial Intelligence (MBZUAI) sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Besar Sheikh Zayed.
Lawatan itu akan diakhiri dengan Sesi Bersama Rakyat Malaysia di sini dan beliau akan bertemu dengan rakyat Malaysia yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Duta Besar Malaysia ke UAE Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.
Anwar tiba di sini pada Khamis untuk lawatan kerja dua hari ke UAE.