SINGAPURA: Singapura dan Malaysia bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang tenaga boleh baharu, kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
“Singapura dan Malaysia kedua-duanya sedang menuju ke arah langkah pengurangan karbon dan kelestarian. Kita menyasarkan dagangan elektrik rentas sempadan yang akan memberikan situasi menang menang kepada kedua-dua negara,” katanya pada sidang media bersama dengan rakan sejawatannya Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Kedua-dua perdana menteri bertemu di Singapura hari ini bagi Sesi Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10, sejak pandemik COVID-19.
Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas berakhinya pemukiman itu para pemimpin menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam pembangunan bersama tenaga boleh baharu dan dagangan elektrik rentas sempadan.
Kedua-dua pemimpin juga berharap dapat menjalin kerjasama tenaga dalam bidang lain, seperti perkongsian teknologi rendah karbon dan tenaga boleh baharu, pemerangkapan dan penyimpanan karbon, dan kredit karbon.
Sehubungan itu, para pemimpin berkata mereka mengambil maklum tentang perbincangan yang sedang berlangsung untuk Singapura mengimport tenaga boleh baharu dari Sarawak dan kerajaan Malaysia akan memberi bantuan untuk mempercepatkan proses itu.
Anwar berkata Malaysia memberikan komitmennya untuk membekalkan tenaga boleh baharu memandangkan Singapura telah meningkatkan pelaburan di Malaysia termasuk menerusi penubuhan pusat data.
“Dan komitmen kita adalah untuk mempercepat cadangan oleh Sarawak untuk mengeksport tenaga ke Indonesia dan Singapura,” katanya.
Selain itu, para pemimpin juga mengambil maklum memorandum persefahaman yang dimeterai baru-baru ini antara Singapore Power dan Tenaga Nasional Bhd untuk menimbang daya maju teknikal interconnector kedua.
Interconnector Plentong-Woodlands telah dinaik taraf pada Oktober 2022 untuk memudahkan aliran elektrik dua hala kira-kira 1,000 MW antara kedua-dua negara.
“Usaha ini akan meningkatkan lagi keterjaminan tenaga dan membolehkan integrasi tenaga boleh baharu yang lebih besar,” demikian menurut kenyataan itu.