Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional PKR tak pernah jadi ahli Liberal International, tak setuju LGBT, Israel

PKR tak pernah jadi ahli Liberal International, tak setuju LGBT, Israel

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak pernah menjadi ahli kepada pertubuhan Liberal International (LI) seperti yang didakwa sesetengah pihak, kata Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau sebaliknya berkata, PKR hanya pernah menjadi sekutu (associate) dan tidak lebih daripada itu.

Beliau yang juga Perdana Menteri, berkata parti tersebut membuat keputusan memutuskan hubungan dengan pertubuhan tersebut selepas tidak bersetuju dengan beberapa perkara, termasuk isu lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) dan kekejaman rejim Israel.

Anwar berkata, beliau mengakui pernah menghadiri persidangan LI di Kaherah, Mesir, tetapi memilih untuk menggunakan pentas tersebut untuk membantah kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin.

“Yang Berhormat boleh semak, kita (PKR) tidak pernah jadi anggota, kita pada peringkat awal (tidak lebih daripada sekadar) associate. Tapi kerana ada beberapa keputusan mereka, termasuk mengiktiraf LGBT dan pendirian terhadap Israel, kita tak jadi ahli.

“Jangan dipolitikkan… saya hadir dalam persidangan LI di Kaherah, dan saya memberi ucaptama. Tetapi pada masa itu, ada wakil Kerajaan Mesir, Ayman Nour calon Presiden yang melawan Hosni Mubarak, dan ada juga wakil Ikhwanul Muslimin atau Muslim Brotherhood.

“Selepas itu saya jumpa Majlis Syura Ikhwanul Muslimin, saya berjumpa dengan Mursyidul Am mereka, dan Dr Mohamed Morsi sebelum jadi presiden Mesir. Mereka ikuti ucapan saya, Muhammad Mahdi Akef mengucapkan tahniah – (mereka) kata Anwar hadir dalam LI dan nyatakan pendirian yang tegas, tentang kezaliman, hak kepada rakyat, dan singgung soal Palestin,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN – Pasir Mas) sewaktu sidang Dewan Rakyat, yang ingin mengetahui hubungan sebenar PKR dengan LI, yang diketahui telah menyatakan pendirian menyokong Israel.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, hadir sebagai anggota atau sekutu kepada sesuatu pertubuhan yang berbeza pandangan dan pendirian, tidak bermaksud mereka menyokong seratus peratus pendirian pertubuhan tersebut.

“Jadi bayangkan berbeda dengan pendapat. Saya hadir betul, kita hadir di PBB, UN itu Israel juga anggota mereka, diiktiraf oleh PBB. Tapi kita hadir sebagai anggota, tak bermakna kita ada kena mengena dengan Israel. Kita tak ada hubungan dengan LI itu benar, oleh kerana pendirian dia soal LGBT kita tidak boleh sokong,” katanya lagi.

Anwar berkata, ASEAN sebagai contoh, mempunyai anggota yang berbeza pendirian mengenai isu Palestin, termasuk yang menyokong tindakan Amerika Syarikat dan Israel.

“Bila timbul masalah Israel, saya kata itu batas kita, tetapi rundingan dalam isu lain saya teruskan. Umpamanya dalam ASEAN, pendirian berbeda, sebagai contoh Filipina cenderung bersetuju dengan Amerika walaupun tidak sekeras itu, tetapi dalam hubungan dua hala masih baik.

“Dalam soal Palestin hanya Malaysia, Indonesia dan Brunei yang kuat sepakat, yang lain kita ada hubungan dan kita minta, sebagai contoh saya jumpa PM Thailand (Srettha Thavisin), saya minta kalau boleh jangan terlalu kuat dengan sentiment pro-Amerika Syarikat, kerana ini akan singgung masyarakat Thailand dan Malaysia,” katanya lagi.

Malah, Perdana Menteri berkata, beliau turut mengambil peluang dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida baru-baru ini, dan Malaysia menghargai pendirian Jepun yang menentang penempatan haram Israel di Palestin, biarpun sebelum ini cenderung menyokong AS dan Israel.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com