SAN FRANCISCO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco di sini bagi menghadiri Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Pesawat khas yang berlepas dari Jeddah itu mendarat jam 9.37 Isnin malam waktu tempatan.
Ketibaan beliau yang ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disambut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut bersama Anwar dalam penerbangan tersebut adalah Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan beberapa delegasi lain.
Turut menyambut ketibaan itu adalah Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan.
Manakala Penolong Ketua Protokol bagi Hal Ehwal Diplomatik Jabatan Negara Amerika Syarikat, Nan Kennelly menyambut ketibaan Anwar mewakili kerajaan Amerika Syarikat.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, akan mengetuai delegasi Malaysia bagi Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) yang berlangsung dari 14 hingga 17 November 2023.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan sepanjang penglibatan Perdana Menteri dengan Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC dan di pelbagai platform pelbagai hala dan dua hala, Perdana Menteri berhasrat untuk mengetengahkan situasi di Palestin, untuk meraih sokongan global, akses kemanusiaan, dan penyelesaian yang adil.
Perdana Menteri juga akan mengambil peluang untuk berkongsi keutamaan dan prinsip Malaysia di bawah Rangka Kerja Ekonomi MADANI, menekankan keterangkuman, pembangunan mampan dan kerjasama untuk kemakmuran bersama.