Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Remaja 13 tahun tidak mengaku tuduhan merompak pemandu e-hailing

Remaja 13 tahun tidak mengaku tuduhan merompak pemandu e-hailing

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani atas pertuduhan merompak seorang pemandu e-hailing, Isnin lalu tidak mengaku bersalah.

Tertuduh membuat pengakuan tersebut pada Ahad selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Berdasarkan pertuduhan, remaja tersebut didakwa cuba melakukan perbuatan rompak terhadap Lee Ang Hie, 65, di kawasan tepi jalan Taman Keladi di sini kira-kira jam 6 petang pada 27 November lalu.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, namun mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 17 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirul Halimi Md Salleh, sementara peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Duratul Ain Mahmud Morshidi bertindak mewakili remaja itu.

Pada Isnin lalu, media melaporkan, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun cuba menyamun seorang pemandu kenderaan e-hailing berusia 65 tahun kerana tidak tahan dimaki ketika mengambil semula wang tambang.

Bagaimanapun, pemandu e-hailing itu sempat merampas pisau dan menggigit tangan remaja terbabit untuk mempertahankan diri sebelum suspek melarikan diri.

Namun, remaja itu berjaya ditahan polis jam 10 malam susulan laporan dibuat warga emas itu pada jam 8 malam, pada hari kejadian.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com