KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan pemberian subsidi akan memberi faedah kepada 3.5 juta orang asing dan dimanfaatkan oleh golongan terkaya.
Menurutnya, disebabkan itu kerajaan meneroka inisiatif lain, termasuk pemberian wang tunai kepada rakyat dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup mereka.
“Kita bincang hampir setiap minggu di Jemaah Menteri, berbincang secara teliti yang dianggap memberi kesan dari sudut kenaikan kos kepada rakyat.
“Ya, kita akui hal ini. Kita boleh redakan sedikit dengan ‘cash transfer’. Bantuan tunai lebih baik daripada subsidi, kerana kalau subsidit itu, ia akan memanfaatkan jutaan.
“Soalan sama ada B40 atau M40 (terima manfaat), jawapannya 10 juta orang, maknanya mencecah M40 akan mendapat kesan melalui suntikan ini.
“Seperti mana RM100 yang diberi sebagai percubaan, e-Madani ini. Itu akan kita teruskan kepada sekurang-kurangnya 10 juta orang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI, RTM dan TV3 pada Selasa.