Sunday, 24, November, 2024
Utama Nasional Syarikat untung besar didesak naikkan gaji pekerja

Syarikat untung besar didesak naikkan gaji pekerja

oleh Ammar Haziq

Penampang: Skim gaji progresif yang diperkenalkan kerajaan akan digunakan untuk mendesak syarikat yang mencatat keuntungan besar bagi menaikkan gaji pekerja swasta di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata syarikat yang mencatat untung besar perlu memberikan gaji yang setimpal kepada pekerja mereka.

“Kita ada skim gaji progresif untuk mendesak syarikat yang untungnya ratusan juta.

“Janganlah tak nak naikkan gaji pekerja, untung setahun RM1 bilion, tapi gaji pekerja hanya RM1,800, RM2,000.

“Sebab itu saya nak tekankan, madani (maksudnya) bukan saja ada kemampanan, pertumbuhan ekonomi, tapi madani juga ada ihsan, ada sifat kasih sayang.

“Kita mahu orang kerja biarlah upah itu baik. Saya sengaja terangkan perkara ini di Sabah kerana ini meletakkan kita berbeza dengan dasar lampau,” katanya ketika merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2023 di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Terdahulu, Anwar mengulangi pengumumannya sebelum ini mengenai keputusan kerajaan untuk mengkaji kenaikan gaji penjawat awam pada tahun depan.

Beliau berkata, langkah itu mengambil kira pelarasan gaji penjawat awam yang tidak pernah dikaji sejak 10 tahun yang lalu, selain antara perkara asas yang diberikan perhatian oleh Kerajaan Perpaduan.

“Hal asas ini perlu diselesaikan dan tahun depan gaji penjawat awam pula. Sudah 10 tahun tidak dikaji pelarasan gaji.

“Justeru, keutamaan akan diberikan supaya ada keputusan pada tahun depan untuk menaikkan sedikit gaji penjawat awam seluruh negara,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com