PUTRAJAYA: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang diluncurkan secara rasmi hari ini mampu mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi kepada golongan yang benar-benar layak.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyasaran subsidi tanpa pendekatan digital seperti sistem PADU akan menyebabkan golongan ‘maha kaya’ mendapat manfaat daripada peruntukan subsidi yang dibekalkan oleh kerajaan.
“Dalam semua kajian menyatakan tidak sampai sepenuhnya (bantuan subsidi) kepada kumpulan sasar.
“Subsidi yang diberikan kerajaan diperkirakan (dalam) nilai ringgit, sekarang itu mencecah RM80 bilion dan tidak mungkin (kerajaan) bertahan menguruskan kewangan belanjawan negara kalau hal-hal ini tidak dapat diperbaiki.
“RM80 bilion itu, kalau sampai semua kepada rakyat, satu hal tetapi seperti mana kita tahu 3.5 juta bukan warganegara juga memperoleh manfaat yang tentunya jika dikumpulkan (nilai itu) mencecah RM10 bilion,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Peluncuran PADU di Perdana Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Selasa.
Anwar menambah, PADU bukan sekadar untuk menjamin penyaluran subsidi sampai kepada golongan sasar tetapi juga menunjukkan keupayaan negara dan penyertaan masyarakat secara keseluruhan dalam transformasi digital.
Dalam masa sama, Menteri Kewangan itu juga mahu isu kesenjangan dapat dikurangkan dengan memastikan golongan miskin bandar dan pedalaman tidak tercicir daripada menerima manfaat transformasi berkenaan.
Sistem PADU dibuka kepada pengguna bagi membolehkan pengemaskinian secara dalam talian bermula hari ini (2 Januari) sehingga 31 Mac depan.
PADU merangkumi profil individu yang mengandungi maklumat asas demografi, alamat, pendidikan, isi rumah, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima.