Sunday, 24, November, 2024
Utama Nasional Jualan Termurah Madani diserbu orang ramai

Jualan Termurah Madani diserbu orang ramai

oleh Ammar Haziq

BUKIT MERTAJAM: Orang ramai membanjiri Lembah Makanan, Perda kerana tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah terutama Beras Putih Malaysia Madani pada Jualan Termurah Madani pada Jumaat.

Pekerja kilang Mohd Syukran Rahmad, 50, berkata dia datang seawal 7.30 pagi untuk mendapatkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram (kg) sekampit.

Menurutnya, dia membeli dua kampit beras bersama isterinya dan mampu bertahan selama sebulan selain turut membeli beberapa barang keperluan lain seperti gula, tepung gandum, minyak paket, ayam dan ikan pada harga murah berbanding pasaran.

“Saya dan isteri selalunya memang akan pergi beli barang keperluan di Jualan Madani atau Jualan Rahmah yang dianjurkan di sini kerana kami dapat berjimat. Sekurang-kurangnya dapat jimat sehingga RM100 sebulan… itu dah cukup baik untuk keluarga saya,” kata bapa kepada tiga anak itu speerti dipetik Bernama.

Suri rumah Nurul Atikah Mohd Fauzi, 35, pula berkata dia dapat berjimat sehingga 30 peratus dengan membeli-belah di Jualan Termurah Madani hari ini dan tumpuannya adalah beras serta barangan kering untuk kegunaan harian di rumah.

Dia yang tinggal di Permatang Pauh dan mempunyai tiga anak berkata selain murah, barang-barang ditawarkan juga berkualiti malah ada yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Macam harga ayam mungkin di pasar sekilo RM9 lebih tapi di sini (Jualan Termurah Madani) sekilo baru RM7.50 malah di sini juga terdapat pelbagai pilihan ikan dijual dengan harga murah berbanding jualan (ikan) di Jualan Madaniatau Jualan Rahmah biasa.

“Sebenarnya, bila ada peluang jualan murah seperti ini sedikit sebanyak sangat melegakan kami golongan berpendapatan rendah ini. Puas hati dapat beli barangan keperluan hari ini termasuk barangan basah,” katanya yang memaklumkan suaminya bekerja kilang di Batu kawan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melakukan tinjauan sempena program berkenaan.

Beliau menghabiskan masa kira-kira 45 minit menyantuni peniaga dan pengguna yang mengunjungi jualan tersebut.

Anwar turut melancarkan jualan Beras Putih Malaysia Madani pada majlis itu yang turut dihadiri Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Kebangsaan mengenai Kos Sara Hidup (NACCOL) Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Pada Rabu, Syed Abu Hussin Hafiz memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kg sekampit berkuat kuasa 19 Feb ini dan dijangka berada di pasaran bermula 1 Mac.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com