Tuesday, 17, September, 2024
Utama Negeri UUM Merchandise promosi identiti, memperingati 40 Tahun UUM

UUM Merchandise promosi identiti, memperingati 40 Tahun UUM

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Pelancaran Boutique UUM Merchandise Collection menjadi satu usaha untuk mempromosikan identiti dan kebanggaan kepada komuniti UUM serta memperingati 40 Tahun kecemerlangan institusi ini.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, UUM Merchandise Collection menampilkan pelbagai produk yang direka khas dalam koleksi kali ini seperti baju, pen, beg dan cenderahati yang mempamerkan logo rasmi sempena 40 Tahun UUM dan Tahun Melawat UUM 2024.

Menurutnya, beliau yakin dan percaya bahawa produk ini akan memenuhi cita rasa semua golongan sama ada pelajar, kakitangan, alumni atau orang awam.

Katanya, permintaan ke atas produk-produk UUM Merchandise Collection juga pastinya akan meningkat berikutan tahun ini merupakan Tahun Melawat UUM dan UUM dijangka akan menerima sejumlah besar pelawat dari dalam dan luar sepanjang tahun.

“UUM Merchandise Collection diuruskan oleh Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) sebagai pembekal eksklusif kepada semua pusat tanggungjawab atau pusat pengajian dan penganjur program di dalam UUM.

“Pembekalan produk UUM Merchandise Collection boleh dibuat secara potongan vot ataupun pembelian tunai dan ia disediakan melalui dua kaedah iaitu Consignment Basis dan Tempahan Perolehan (Purchase Order),” katanya ketika merasmikan Boutique Uum Merchandise Collection di Varsity Mall, pagi tadi.

Beliau berharap produk ini akan mendapat permintaan yang memberangsangkan daripada semua pihak, sekali gus dapat menjana pendapatan kepada universiti.

Sementara itu, Pengarah BSD, Dr. Afiruddin Tapa berkata, pelancaran UUM Merchandise Collection merupakan satu langkah penting dalam memperkasakan imej dan identiti universiti.

Menurutnya, ia bukan sekadar satu inisiatif biasa tetapi merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha untuk memartabatkan UUM sebagai institusi pendidikan terunggul di rantau ini.

Katanya, BSD berharap untuk menyediakan pelbagai barangan berkualiti tinggi yang memaparkan logo dan jenama UUM kepada komuniti universiti serta orang ramai.

“Sudah matlamat BSD untuk memastikan bahawa koleksi ini tidak hanya menjadi alat untuk meningkatkan semangat kekitaan dalam kalangan warga UUM tetapi juga menjadi satu sumber pendapatan tambahan untuk universiti.

“Setiap pembelian barangan dari koleksi ini akan memberi sumbangan yang penting kepada pembangunan dan kemajuan UUM. Terima kasih kepada semua staf BSD dan warga UUM yang telah memberi sumbangan dan sokongan dalam setiap fasa pembangunan koleksi ini,” katanya.

Hadir sama, Timbalan-timbalan Naib Canselor; Pengarah Exacmust Sdn Bhd, Mohamad Khir Abdul Razak dan ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com