Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Mufti Kedah sokong kerajaan negeri tutup premis judi

Mufti Kedah sokong kerajaan negeri tutup premis judi

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang mempertahankan dasar penutupan premis judi di negeri ini kerana aktiviti perjudian adalah ‘racun’ pemusnah masa depan ummah.

Menurutnya, tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan di negeri ini ke atas rakyat adalah berasaskan kepada maslahah.

“Dengan ini, saya menyokong usaha-usaha murni yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman untuk menzahirkan kehidupan masyarakat yang harmoni dan sejahtera termasuk penutupan premis judi.

“Implikasi aktiviti judi ini akan mengundang kemurkaan Allah S.W.T., menggugat keharmonian institusi keluarga, meruntuhkan struktur sosial masyarakat dan perseteruan dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, penutupan premis judi dalam negeri ini menepati konsep Maqasid Syar’iyyah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al Maidah ayat 91 yang bermaksud sesungguhnya syaitan itu hanya hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu melalui arak dan judi, dan hendak memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada hendak mengerjakan sembahyang. Maka tidakkah kamu mahu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu).

Sebelum ini, media melaporkan Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu telah membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti perjudian berlesen.

Difahamkan, kerajaan negeri Kedah memfailkan permohonan menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 14 November 2021, mengumumkan negeri itu tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan jualan arak di seluruh negeri itu.

Semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Januari 2023 dan tidak ada lagi lesen perjudian yang diperbaharui selepas tarikh tersebut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com