Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Remaja meninggal dunia belum sempat tonton aksi Kedah lawan JDT

Remaja meninggal dunia belum sempat tonton aksi Kedah lawan JDT

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Seorang remaja lelaki tiba-tiba rebah sebelum perlawanan separuh akhir Piala FA antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bermula di Stadium Darul Aman, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad beekata, mangsa berusia 18 tahun itu rebah semasa berada di tempat duduk penonton di stadium itu pada jam 7 petang.

Menurutnya, remaja tersebut datang ke stadium bersama adiknya bagi menyaksikan perlawanan bola sepak antara Kedah dan JDT.

“Bagaimanapun, dia dikatakan telah rebah dan tidak sedarkan diri semasa berada di tempat duduk penonton sebelum perlawanan bermula,”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, orang ramai yang melihat kejadian itu kemudiannya segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di stadium untuk membawa remaja tersebut ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi menerima rawatan

Bagaimanapun, pegawai perubatan telah mengesahkan remaja tersebut telah meninggal dunia setibanya di Zon Kecemasan HSB.

Menurutnya, semakan dan temubual ke atas waris mendapati remaja tersebut merupakan seorang pengidap sakit jantung sejak kecil.  

“Pihak perubatan HSB juga telah mengesahkan sebab kematian sebagai “Complex Cyanotic Heart Disease” iaitu berkait sakit jantung yang dihidapi,’ ujarnya.

Tambah Siti Nor Salawati, pihaknya menerima laporan berkenaan kematian remaja tersebut pada jam 8.18 malam. 

Beliau berkata, siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com