KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah berkata, ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sony Norde perlu bersedia berdepan tindakan selepas mengkritik pengadil secara terbuka.
Menurutnya yang dipetik melalui BH Online, mengkritik pengadil secara terbuka sememangnya satu kesalahan di bawah kod disiplin FAM.
“Ada kemungkinan paling tinggi untuk hukuman dikenakan adalah penggantungan beberapa perlawanan tetapi itu terserah kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM. Memang ada diperuntukkan hukuman kerana mengkritik pengadil adalah satu kesalahan berat.
“Jadi pemain itu perlu bersedia dengan penggantungan ataupun denda yang akan diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FAM nanti,” kata Kamarudin yang dipetik melalui portal tersebut.
Perkara sama juga dijelaskan oleh peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid yang melihat tindakan Sony melanggar Artikel 61.
Menurutnya, Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 91 Statut FAM 2023 menyebut pegawai atau pemain tidak boleh membuat apa-apa kenyataan kepada media, secara lisan atau bertulis tanpa kelulusan atau kebenaran bertulis atau lisan daripada Jawatankuasa Eksekutif seperti yang dinyatakan di bawah Statut FAM atau peraturan-peraturan atau arahan-arahan atau pekeliling yang dikeluarkan.
“Jika benar, dia boleh dikenakan penggantungan dan denda. Pemain sepatutnya menyerahkan ketidakpuasan hatinya kepada kelab untuk membuat aduan ke Jawatankuasa Pengadil,” ujar Zhafri.
Terdahulu, Sony meluahkan rasa kecewa mengenai mutu pengadilan, Muhammad Nazmi Nasaruddin pada aksi separuh akhir pertama Piala FA yang berkesudahan skuad Kenari tumpas 1-2 di Stadium Darul Aman.
Katanya, pada aksi tersebut terdapat kekasaran telah dilakukan terhadap pemain tengah Kedah Habib Haroon sebelum JDT memperoleh gol pertama pada minit ke-23.
Menurutnya, KDA FC juga berpeluang. mendapatkan sepakan penalti apabila bola dilihat terkena tangan pemain pertahanan JDT, Shahrul Saad ketika hujung babak perlawanan.
“Selepas beraksi lima tahun di Malaysia, saya dapati ia cukup memalukan membabitkan keputusan yang dibuat pengadil perlawanan,” katanya.