ALOR SETAR – Lelaki warganegara asing yang direman selama tujuh hari disyaki membunuh isteri dan dua anaknya dipercayai menghadapi tekanan emosi kerana mereka lima beranak hidup daif dan gelandangan.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, saringan awal air kencing mendapati suspek juga positif amphethamine, methamphetamine dan mop.
Menurutnya, polis mengesahkan kes ini sebagai kes domestik dan tidak melibatkan jenayah terancang atau bersiri.
“Polis minta orang ramai tidak buat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan ketakutan kepada awam,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Jelas Adzli, suspek dipercayai membunuh tiga ahli keluarganya pada Ahad lalu dan memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) selain membawa seorang lagi anak lelakinya berumur lima tahun yang tidak diapa-apakan.
Menurutnya, lelaki berusia 43 tahun itu meninggalkan lokasi kejadian dengan berjalan kaki sejauh kira-kira 17 kilometer ke sebuah masjid di Bukit Pinang, di sini.
“Kesemua mangsa dipercayai dibunuh pada malam Ahad sebelum dua daripada mayat itu ditemukan di dalam longkang di belakang bangunan itu pukul 5 petang kelmarin.
“Suspek berjaya dikesan berada di Masjid Al-Hidayah, Bukit Pinang bersama anak lelakinya. Bersama suspek polis menemukan parang yang digunakan serta dokumen pengenalan diri isteri dan anak-anaknya,” katanya.
Tambahnya, mayat ketiga iaitu kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dijumpai di Pantai Leman, Kuala Kedah disyaki anak bongsu suspek yang turut menjadi mangsa bunuhnya.